KKM kaji semula SOP bawa pesakit psikatri ke fasiliti kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) membawa pesakit psikiatri untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu penting kerana melibatkan keselamatan pesakit lain yang berada di premis sama.

Beliau berkata antara SOP yang perlu diperkemaskan ialah berkaitan penempatan pesakit psikiatri sewaktu mereka dibawa untuk mendapatkan rawatan selain ketika menunggu rawatan diberikan.

“Apa yang kita lihat sekarang pesakit psikiatri ini dalam keadaan agitate (gelisah) di tempat awam, jadi dia boleh bertindak apa-apa sahaja.

“Jadi kita lihat mana proses atau SOP yang kita kena kemaskan, jika pesakit ini dibawa untuk mendapatkan rawatan, di mana kita ingin tempatkan mereka sepanjang proses berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas hadir Program Inisiatif Pembedahan Global di Pusat Perubatan Subang Jaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden seorang pesakit psikiatri yang dibawa oleh polis untuk menerima rawatan, bertindak menikam orang awam dalam kejadian di Hospital Selayang, semalam.

Tambahnya, kejadian itu boleh berlaku di mana-mana sahaja dan anggapan awam bahawa pesakit psikiatri berkenaan bertindak di luar kawalan kerana faktor kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital terbabit bukanlah sebab utama.

Sementara itu, Dr Noor Hisham enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai perkembangan penyediaan Kertas Putih KKM berkait perolehan vaksin COVID-19 yang akan dibentangkan di Parlimen.

“Saya tak nak komen, perkara berkenaan (perolehan vaksin) telah dijawab kepada PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara), ada 512 muka surat (laporan) dan juga pengerusi PAC telah buat pengumuman sebenarnya.

“Jadi kalau kita buat komen kita undermine (melemahkan) kuasa PAC sebenarnya,” katanya.

Pada 8 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kertas Putih perolehan dan kos pembelian vaksin COVID-19 akan dibentangkan pada persidangan Parlimen ini kerana didapati tidak mengikut prosedur serta dilakukan tanpa melalui persetujuan Peguam Negara.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1233
Kongsi :
Previous post Penduduk resah, kawasan rumah di Taman Anjung Gapam ‘diserang’ anjing liar
Next post Lori bergerak sendiri rempuh rumah, pemandu tersepit
Ubah saiz-+=