Lori bergerak sendiri rempuh rumah, pemandu tersepit

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

DURIAN TUNGGAL 15 Februari – Seorang pemandu lori tersepit, selepas kenderaan itu merempuh sebuah rumah dalam kejadian di Jalan Simpang Gading, Padang Kerbau, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadoian pada jam 12 tengah hari itu, lori tiga tan dipandu mangsa berusia 36 tahun yang diletakkan di kawasan lapang di bahu jalan berhadapan rumah orang awam bergerak sendiri.

“Semasa mangsa sedang melakukan kerja-kerja pemasangan wayar telekom tiba-tiba lori terbabit bergerak sendiri.

“Menyedari kejadian itu, mangsa cuba mengejar dan masuk ke dalam lori untuk cuba memberhentikan kenderaan dan menarik brek tangan tetapi tidak berjaya sehingga. Akibat daripada itu lori berkenaan merempuh rumah kosong,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori itu kini dirawat di Zon Hijau, Hospital Alor Gajah selepas mengalami kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan (PBK II) Fadhil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 pagi daripada orang awam.

Beliau berkata, susulan itu dua buah jentera masing-masing dari BBP Alor Gajah dan Ayer Keroh bersama 16 anggota kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan dan terdapat seorang mangsa tersepit di tempat duduk bahagian penumpang.

“Operasi membawa keluar mangsa mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum dia dihantar ke hospital dengan menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan operasi tamat pada jam 12.43 tengah hari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1351
Kongsi :
Previous post KKM kaji semula SOP bawa pesakit psikatri ke fasiliti kesihatan
Next post Kilang bungkus teh, kopi disyaki guna logo halal tidak sah diserbu
Ubah saiz-+=