Klinik Kesihatan Bukit Rambai akan dinaik taraf

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KLEBANG 17 Ogos – Permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kesihatan di kawasan Bukit Rambai membuatkan perlunya klinik kesihatan sedia ada dinaik taraf.

Ia memandangkan Klinik Kesihatan Bukit Rambai yang telah berusia 60 tahun tidak mampu lagi menampung kepadatan penduduk di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, bagi memastikan perkhidmatan kesihatan menyeluruh dapat diberikan kepada komuniti, pihaknya bakal mengangkat permohonan bagi pembinaan bangunan baharu klinik kesihatan tersebut.

Menurutnya, tapak cadangan bangunan baharu itu ialah di tanah berkeluasan 1.82 hektar (4.5 ekar) berhadapan Klinik Kesihatan Bukit Rambai, dengan jangkaan nilai kos RM35 juta hingga RM38 juta.

Jelasnya, permohonan tersebut akan diangkat Jabatan Kesihatan Negeri Melaka kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) awal tahun depan dan jika diluluskan projek itu akan bermula pada 2026.

“Buat masa ini, proses pengambilan tanah telah selesai dan kita akan segera mengangkat permohonan ini memandangkan terdapat tujuh buah kampung dan taman perumahan berada di kawasan ini.

“Saya difahamkan, sebelum ini klinik kesihatan ini hanya berupaya menerima kira 6,713 pesakit sebulan dan 324 pesakit sehari.

“Namun, dengan adanya bangunan baharu, jumlah pesakit untuk mendapatkan rawatan boleh meningkat kepada 800 orang sehari,” katanya.

WhatsApp Image 2023-08-17 at 13.25.55
BAN Hong (kanan) bersama Dr. Rusdi (kiri) melawat cadangan tapak pembinaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Bukit Rambai.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan cadangan tapak pembinaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Bukit Rambai, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ban Hong berkata, klinik kesihatan tersebut yang sebelum ini merupakan jenis 4 (type 4), akan dinaik taraf kepada jenis 3 iaitu bangunannya lebih besar dan mempunyai lebih banyak perkhidmatan tambahan.

Katanya, antara perkhidmatan baharu yang akan diperkenalkan ialah fisioterapi, x-ray dan pergigian, selain mengekalkan rawatan sedia ada iaitu rawatan pesakit luar, ibu dan anak serta makmal.

“Justeru, di pihak Japerun Klebang, kita akan bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem memantau perkembangan pembinaan bangunan baharu ini supaya kita dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih kepada penduduk,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1810
Kongsi :
Previous post Semangat kibar Jalur Gemilang masih kurang, tingkatkan kempen
Next post Melaka mohon enam klinik kesihatan baharu
Ubah saiz-+=