Melaka mohon enam klinik kesihatan baharu

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KLEBANG 17 Ogos – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka sedang memohon pembinaan enam klinik kesihatan baharu di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman berkata, permohonan itu membabitkan kesemua tiga daerah dalam Negeri Melaka.

Menurut beliau, antara yang dimohon ialah Klinik Kesihatan (KK) Sungai Rambai, KK Simpang Ampat, KK Padang Sebang, KK Bukit Rambai, KK Klinik Kesihatan Cheng dan KK Bukit Katil.

“Kesemua yang dicadangkan adalah pembinaan klinik kesihatan jenis 3 (type 3). Ini merupakan antara (kawasan) keutamaan kita, namun ia juga bergantung kepada perkembangan penduduk di kawasan tersebut.

“Selain klinik kesihatan, kita juga akan mengemuka permohonan dua projek baharu di Hospital Melaka dan masing-masing satu projek baharu di Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang mengadakan lawatan cadangan tapak pembinaan bangunan baharu KK Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peruntukan baik pulih klinik daif atau usang yang diumumkan pada Belanjawan 2023 yang lalu, Dr. Rusdi memaklumkan sebanyak tujuh klinik kesihatan di negeri ini menerima manfaat daripada peruntukan tersebut.

Katanya, ia membabitkan baik pulih KK Peringgit, KK Felda Bukit Senggeh, KK Kemendor, KK Umbai, KK Alor Gajah, KK Durian Daun dan KK Durian Tunggal.

Ia membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.15 juta.

“Kebanyakan klinik yang menerima peruntukan tersebut adalah berusia lebih 30 tahun dan kita ada lagi senarai yang akan dihantar ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan pembaikan klinik dan kuarters,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2770
Kongsi :
Previous post Klinik Kesihatan Bukit Rambai akan dinaik taraf
Next post Pasar raya terbiar jadi sarang jentik-jentik
Ubah saiz-+=