Pasar raya terbiar jadi sarang jentik-jentik

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KOTA LAKSAMANA 17 Ogos – Arahan pembersihan ke atas sebuah bangunan pasar raya terbiar di Jalan Gajah Behrang, di sini, dikeluarkan selepas menemui banyak sarang nyamuk Aedes.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menemui banyak takungan air yang menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

“Bukan seekor dua jentik-jentik yang ditemui malah banyak, oleh itu JKN sudah mengambil sampel jentik-jentik untuk dihantar ke makmal bagi tindakan lanjut.

“Jika dibiarkan tanpa tindakan tidak mustahil keadaan akan bertambah teruk.

“Justeru itu, arahan pembersihan premis dikeluarkan JKN kepada pemilik premis selain hal ini juga akan dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, Hee Sem bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong dan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah Dr. Noor Aizam Mohd Said mengadakan pemeriksaan ke atas bangunan yang kini terbiar.

Hee Sem berkata, JKN akan memastikan tempat pembiakan nyamuk Aedes itu akan dimusnah dengan segera memandangkan tingkat atas bangunan berkenaan merupakan kediaman dan ia boleh mengancam keselamatan penghuni di situ.

“Meskipun di Melaka kita tidak merekodkan sebarang kematian disebabkan kes denggi namun pertambahan kes yang direkodkan agak membimbangkan justeru itu langkah pencegahan adalah penting untuk dilaksanakan.

“Sehingga Minggu Epid 32 yang berakhir pada 12 Ogos, JKN sudah memeriksa 55,164 premis dengan 6,461 dikesan positif pembiakan jentik-jentik.

“Selain itu, sejumlah RM534,000 nilai kompaun telah dikeluarkan kepada 1,068 premis yang gagal menjaga kebersihan kediaman mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2180
Kongsi :
Previous post Melaka mohon enam klinik kesihatan baharu
Next post Amal pemakanan sihat, suplemen tambahan berjuang lawan kanser
Ubah saiz-+=