Klinik Kesihatan Duyong bakal dibina

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 April – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong boleh menarik nafas lega apabila Klinik Kesihatan Duyong bakal dibina kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abd Halem berkata, disebabkan tiada klinik kesihatan di kawasan DUN itu, penduduk terpaksa ke klinik kesihatan yang lebih jauh bagi mendapatkan rawatan.

“Besar harapan saya apabila adanya Klinik Kesihatan Duyong nanti ia akan memudahkan penduduk setempat. Sekarang ini ada penduduk DUN Duyong yang ke Klinik Kesihatan Ujong Pasir, Ayer Molek dan juga ke Peringgit.

“Sebelum ini pada 2019 lawatan tapak kali pertama sudah di buat tetapi tergendala seketika dan semalam saya buat lawatan untuk kenal pasti kesesuaian bagi pembinaan klinik itu nanti.

“Daripada penerangan pegawai teknikal yang ikut serta, mereka memaklumkan lokasi itu sesuai. Jadi saya harap akan terbinanya Klinik Kesihatan Duyong ini yang lokasinya berdekatan Japerun Duyong,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Program Tadarus dan Khatam Al-Quran yang dirasmikan Exco Wanita UMNO Malaysia Datin Samsidar Amir dan hadir sama Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, di Masjid Selat, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, bagi merealisasikan harapan penduduk, pihaknya akan memastikan cadangan pembinaan itu akan mendapat sokongan sekali gus diluluskan bagi pembinaan.

“Kita faham ia akan mengambil masa dan melalui beberapa prosedur tetapi janganlah dihentikan serta tergendala lagi.

“Besar harapan supaya diteruskan dari semasa ke semasa dan sekiranya ada halangan kita cuba harungi serta selesai bersama-sama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1606
Kongsi :
Previous post ‘Saya tak ada baju raya pun tak apa’
Next post Ibu dan bapa tunggal disantuni, 200 dodol diagih
Ubah saiz-+=