Kluster Jalan Alor Gajah Lama merebak akibat aktiviti ziarah Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Melaka merekodkan pertambahan satu lagi kluster baharu hari ini membabitkan institusi keagamaan yang dikenali sebagai Kluster Jalan Alor Gajah Lama.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu kenyataan berkata, kluster itu daripada seorang lelaki berusia 60 tahun yang dikesan positif selepas menjalani saringan bergejala di sebuah klinik swasta.

Jangkitan itu dipercayai diperoleh daripada seorang jemaah masjid yang bergejala dan dikesan positif di Daerah Petaling, Selangor.

Siasatan mendapati sebahagian daripada mereka menjalankan aktiviti bersama di masjid, sebelum ia merebak ke komuniti akibat aktiviti ziarah Hari Raya Aidilfitri.

“Sehingga hari ini, seramai 73 orang kontak rapat daripada kluster berkenaan telah dikenal pasti dan 26 daripadanya telah disahkan positif,” kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, JKN Melaka memaklumkan terdapat tiga kematian hari ini menjadikan kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Melaka kini meningkat kepada 83 orang.

Kematian membabitkan dua lelaki berusia 79 dan 53 tahun dari mukim Merlimau dan seorang wanita 73 tahun dari mukim Bukit Baru.

Sehingga kini, seramai 2,076 individu masih dirawat di negeri ini dan daripada jumlah itu 69 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 13 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman dalam satu kenyataan ringkas di Facebook rasmi beliau memaklumkan penggunaan katil ICU di Hospital Melaka semakin hampir mencapai tahap maksimum apabila 98.6 peratus daripadanya telah digunakan.

Katanya, penggunaan katil yang menempatkan pesakit COVID-19 di hospital sama juga semakin membimbangkan apabila mencapai kapasiti penggunaan 85 peratus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1027
Kongsi :
Previous post Jangan bazir, beli ikut keperluan – Ismail
Next post Awas penipuan pelaburan menyamar sebagai institusi sah
Ubah saiz-+=