KM cadang jalan utama Melaka ditukar kepada Jalan Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 10 Jun – Ketua Menteri Melaka, Datuk Haji Sulaiman Md Ali mencadangkan agar salah satu jalan utama di negeri ini ditukarkan kepada nama Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob.

Beliau memberitahu Melaka Hari Ini (MHI), cadangan berkenaan adalah sebagai menghargai jasa dan sumbangan Mohd Khalil dalam membangunkan negeri Melaka sepanjang menjadi Yang di-Pertua Negeri ke-6 selama 16 tahun.

“Saya baru sahaja bercakap dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan saya terfikir memandangkan Tun Dr Mohd Khalil sudah berkhidmat selama 16 tahun sebagai Yang di-Pertua Negeri, mengapa tidak kita pilih satu jalan dan abadikan nama jalan tersebut dengan nama Tun.

“Kita tak nak jalan-jalan kecil atau lorong, tapi kita nak satu jalan utama diletakkan nama Tun Dr Mohd Khalil Yaakob bagi menghargai jasanya berkhidmat selama 16 tahun di negeri ini.

“Jadi, saya sudah bercakap dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan buat masa ini pihak MBMB sedang melihat jalan-jalan yang sesuai untuk diabadikan nama tersebut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MHI, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata, perkara itu masih di peringkat cadangan dan akan diperhalusi dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sedikit masa lagi.

Views:

801
Kongsi :
Previous post PKPP: Sekatan jalan raya rentas negeri dihentikan mulai tengah malam tadi
Next post Sekolah dibuka 24 Jun, libat pelajar peperiksaan awam, antarabangsa – Radzi Jidin
Ubah saiz-+=