20,000 T-SHIRT, 2,000 HELMET EKSKLUSIF JADI TARIKAN KARNIVAL ANAK MUDA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDARAYA MELAKA 21 Ogos – Sebanyak 20,000 helai t-shirt istimewa dan 2,000 helmet eksklusif bakal menjadi antara tarikan utama Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 4 hingga 6 September ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, t-shirt berkenaan disediakan secara percuma kepada peserta dan pengunjung yang membuat pendaftaran menerusi saluran yang disediakan pihak penganjur.

Katanya, peserta yang membuat pendaftaran turut berpeluang menyertai cabutan nombor bertuah sepanjang tiga hari karnival bagi memenangi 2,000 helmet eksklusif dan pelbagai hadiah menarik lain yang disediakan.

“Menerusi karnival ini kita akan adakan himpunan motosikal terbesar. Kalau sebelum ini ada himpunan motosikal RXZ, tapi kali ini semua motosikal boleh sertai.

“Kita akan membuka pendaftaran melalui Japerun dalam masa terdekat ini dan semua yang mendaftar akan menerima t-shirt secara percuma dan layak menyertai cabutan bertuah yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas bersiaran dalam program Tok Rauf Masuk Konti di MELAKAfm, di sini, hari ini.

Tambah Ketua Menteri, bersempena himpunan motosikal itu juga, cabutan bertuah secara berkala akan diadakan setiap dua jam sekali, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada peserta membawa pulang pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan.

“Kita mahu setiap yang hadir merasai pengalaman yang berbeza. Bukan sekadar datang tengok persembahan, tetapi boleh menyertai pelbagai aktiviti, mendapat manfaat dan pada masa yang sama berpeluang memenangi hadiah,” katanya.

Beliau berkata, Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 bukan sekadar medan hiburan, bahkan menjadi platform untuk golongan muda menampilkan bakat, kreativiti dan karya dalam bidang masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

520
Kongsi :
Previous post HARI KEBANGSAAN: 13 PRODUK PELANCONGAN MELAKA PERCUMA UNTUK RAKYAT