
HARI KEBANGSAAN MELAKA: KARNIVAL CIMIC DEKATKAN RAKYAT DENGAN TENTERA
BANDARAYA MELAKA 21 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka bakal tampil lebih gah apabila Kerajaan Negeri dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menganjurkan Karnival Civil-Military Cooperation atau Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) pada 29 hingga 31 Ogos ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran Karnival CIMIC menjadi antara pengisian istimewa sambutan tahun ini yang memberi peluang kepada masyarakat mendekati dunia ketenteraan.
Katanya, pelbagai aset pertahanan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) akan dipamerkan kepada orang ramai menerusi karnival berkenaan.
“Karnival ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia khususnya Negeri Melaka melihat dengan lebih dekat peranan serta keupayaan ATM, termasuk pelbagai pameran aset pertahanan oleh TLDM dan TDM,” katanya pada sidang media selepas bersiaran dalam program Tok Rauf Masuk Konti di MELAKAfm, di sini, hari ini.
Menurut Ab Rauf, Karnival CIMIC turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara masyarakat awam dengan ATM, selain memberi pendedahan khususnya kepada generasi muda mengenai peranan pasukan pertahanan negara.
Beliau berkata, selain pameran aset, orang ramai turut berpeluang menyaksikan pelbagai demonstrasi ketenteraan yang akan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Klebang.
“Antara yang kita bawakan ialah demonstrasi payung terjun, pertunjukan udara jet pejuang, pertunjukan helikopter serta demonstrasi kepakaran pasukan khas yang pastinya memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.
“Jadi, kita mengalu-alukan rakyat Melaka dan seluruh Malaysia untuk datang ke Klebang kerana pelbagai pengisian menarik disediakan sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka akan berlangsung bermula 29 hingga 31 Ogos ini dengan Dataran 1 Malaysia, Klebang menjadi lokasi utama pelbagai pengisian menarik untuk segenap lapisan rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

