KM saran peniaga jual produk promosi TMM2024, slogan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDA HILIR 21 Januari – Peniaga-peniaga tempatan di negeri ini disaran untuk mempelbagaikan produk mereka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, produk seperti cenderahati dan sebagainya perlulah memaparkan ciri-ciri unik berkaitan Melaka, termasuklah mengetengahkan ‘tagline’ TMM2024, ‘Mana Lagi? Melaka Lerr…

Selain itu, katanya, cenderahati itu juga boleh menonjolkan slogan tambahan Kerajaan Negeri, ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’.

“Slogan tambahan ini boleh diketengahkan kerana ia juga merupakan hala tuju baharu kita dalam melakukan penyelidikan mengenai Hang Tuah.

“Insya-Allah pada bulan Mei depan kita akan rungkaikan bahawa Hang Tuah ini merupakan seorang legenda yang cukup hebat dan disegani.

“Jadi saya mencadangkan, peniaga-peniaga agar mengambil kesempatan untuk mempromosikan TMM2024 dan slogan Negeri Melaka agar ia dikenali pelancong dan pengunjung yang datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas meninjau dan menyantuni peniaga Uptown Pahlawan Walk, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan lain-lain kenamaan.

Pada lawatan itu, Ketua Menteri telah meluangkan masa kira-kira satu jam untuk menyantuni pengunjung yang datang dan beramah mesra dengan peniaga di kawasan Zon Bebas Kenderaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

810
Kongsi :
Previous post Perubahan bawa limpahan rezeki kepada peniaga Melaka
Next post 40,000 meriahkan Melaka Munajat
Ubah saiz-+=