Perubahan bawa limpahan rezeki kepada peniaga Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 21 Januari – Perubahan penempatan Uptown Pahlawan Walk di kawasan Zon Bebas Kenderaan nyata memberi limpahan rezeki kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana tempatan.

Mana kan tidak, daripada berada di kawasan tersorok kepada kawasan yang menjadi tumpuan ramai, tapak perniagaan itu dilihat kembali hidup dan rancak dikunjungi orang ramai.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dianggarkan pada malam minggu sahaja kawasan itu dikunjungi kira-kira 15,000 pengunjung, termasuk pelancong yang datang ke Melaka.

Ujar beliau, ia sekali gus memberi gambaran positif bahawa perubahan yang dibawa Kerajaan Negeri mula memberi rahmat cukup besar kepada peniaga.

“Pada tinjauan saya ini, rata-rata peniaga menzahirkan rasa berterima kasih di atas keputusan dibuat Kerajaan Negeri untuk memindahkan mereka ke tempat tumpuan di jalan utama hadapan Menara Taming Sari ini.

“Jadi, subsektor ekonomi daripada pemindahan ini nyata telah menjana pendapatan yang baik buat peniaga dan penjaja.

“Jadi saya melihat sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), inilah satu idea baharu yang telah berjaya mengetengahkan peniaga kecil dan sederhana mencari rezeki daripada kedatangan pelancong dan pengunjung ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas meninjau dan menyantuni peniaga Uptown Pahlawan Walk, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, pihaknya bagaimanapun akan terus mendapatkan maklum balas daripada peniaga dan semua pihak terlibat mengenai penambahbaikan atau sesuatu cadangan baharu yang boleh dilakukan.

Kata beliau, penilaian bagi setiap maklum balas atau cadangan tersebut akan dibuat pada setiap tiga bulan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2602
Kongsi :
Previous post TMM2024: Kejohanan Futsal tawar hadiah keseluruhan RM50,000
Next post KM saran peniaga jual produk promosi TMM2024, slogan Melaka
Ubah saiz-+=