KM tinjau persiapan sambut Agong di MITC

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini, meninjau persiapan sambutan menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Seri Paduka Baginda berkenan berangkat hadir ke Majlis Perasmian Pameran Hang Tuah, Pameran Kenderaan Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024 di MITC, pada Sabtu ini (15 Jun).

Pada sesi lawatan tapak yang bermula kira-kira jam 2 petang itu, Ab Rauf terlebih dahulu meninjau keadaan di Pameran Hang Tuah di Hall A, MITC yang mula dibuka kepada pengunjung semalam.

Turut serta pada lawatan itu, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalannya Datuk Zaidi Attan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Dalam lawatan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu, Ketua Menteri turut memaklumkan beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi memastikan pameran yang berlangsung selama sebulan sehingga 7 Julai depan itu lebih menarik dan mesra pengunjung.

Selepas itu, beliau bersama kepimpinan Kerajaan Negeri turut meninjau lokasi penganjuran Malaysia Bike Week Melaka 2024 di lokasi sama.

Malaysia Bike Week atau Jamboree Permotoran Malaysia bakal berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Acara berkenaan dijangka melibatkan lebih 10,000 motosikal pelbagai jenis dan kuasa membabitkan penyertaan peminat motosikal dari seluruh negara dan negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Sultan Ibrahim turut berkenan mengadakan lawatan ke tapak Malaysia Bike Week Melaka 2024 pada Sabtu selepas mengadakan lawatan ke Pameran Hang Tuah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

208
Kongsi :
Previous post Dua maut selepas makan bihun goreng dan telur
Next post Lapan mangsa nahas bas masih dirawat di hospital
Ubah saiz-+=