Kompaun lebih RM500,000 kepada pengeluar, pemborong dan peruncit ayam, telur ayam – KPNHEP

PUTRAJAYA, 29 Nov – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM534,200 terhadap 2,205 pengeluar, pemborong dan peruncit ayam serta telur ayam melibatkan pelbagai kesalahan bagi tempoh 5 Feb hingga semalam.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof berkata kompaun itu dikeluarkan menerusi 2,205 tindakan penguatkuasaan bagi membanteras pencatutan harga barangan kawalan bersubsidi dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata daripada jumlah itu 153 tindakan melibatkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum, tidak mempamerkan tanda harga merah jambu pada barang kawalan (1,980) dan tidak mempamerkan tanda harga (72).

“Tindakan dan kompaun terbabit dikenakan terhadap 13 pengeluar, 54 pemborong dan 2,138 peruncit bekalan ayam dan telur ayam, dengan nilai sitaan adalah RM336,634,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program ‘Sihat Ke Saya?’ anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan KPDNHEP di sini hari ini.

Azman berkata pihaknya mengalu-alukan pengguna untuk membuat aduan melalui enam saluran rasmi KPDNHEP iaitu Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) dengan menelefon 03-8882 6088/6245, aplikasi Ez-ADU, menerusi talian hotline 1-800-886-800, WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000, portal e-Aduan http://e-aduan.kpdnhep.gov.my dan e-mel [email protected]

Mengenai dakwaan kewujudan kartel telur ayam yang menyorok bekalan itu sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak berasas, malah pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kegiatan terbabit.

“Sekiranya berlaku, pengguna boleh buat laporan kepada kami dan Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP akan jalankan siasatan, tetapi perlu kemukakan aduan terperinci bagi memudahkan pihak kami,” katanya.

Bagi isu kenaikan harga telur ayam di pasaran, Azman berkata tindakan boleh dikenakan terhadap pemain industri di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) sekiranya didapati melanggar akta itu.

“KPDNHEP sentiasa peka dengan aduan pengguna bagi memastikan barangan kawalan bersubsidi sentiasa dipantau dan tidak dimanipulasi oleh pemain industri,” katanya.

Baru-baru ini tular di laman media sosial mengenai bekalan telur ayam kembali pulih di pasaran namun dijual pada harga yang tinggi selain dikaitkan dengan kewujudan kartel telur ayam yang memanipulasi bekalan terbabit.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1591
Previous post Produk Inovasi UTeM raih 13 pingat di PECIPTA 2022
Next post Jenayah indeks menurun, jenayah komersial meningkat pada 2021