
KOMPLEKS FALAK AL-KHAWARIZMI PRODUK EDUPERLANCONGAN UNIK MELAKA
TANJUNG BIDARA 14 September – Kompleks Falak Al-Khawarizmi bakal diperkasakan sebagai antara produk edupelancongan unik Melaka menerusi usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa ilmu Falak, pendidikan astronomi serta teknologi pencerapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan kompleks berkenaan akan terus diberi perhatian bagi memastikan kemudahan itu bukan sahaja menjadi pusat ilmu dan pencerapan, malah dapat dimanfaatkan masyarakat sebagai destinasi pendidikan dan pelancongan.
“Atas hakikat itu, Kerajaan Negeri Melaka akan terus menyokong usaha memperkasakan ilmu Falak, termasuk melalui pemodenan kemudahan dan teknologi pencerapan, peluasan perkhidmatan Falak kepada masyarakat serta program pendidikan dan pendedahan astronomi, khususnya kepada anak-anak dan golongan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Penutup Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, pemodenan kemudahan dan teknologi pencerapan perlu seiring dengan usaha memperluas perkhidmatan Falak kepada masyarakat supaya kompleks berkenaan terus relevan sebagai pusat pembelajaran serta rujukan ilmu astronomi.
Katanya, pendedahan berkaitan astronomi juga perlu diperluaskan kepada generasi muda bagi memupuk minat terhadap bidang sains dan teknologi, selain memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik di luar bilik darjah.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan selari dengan usaha Kerajaan Negeri memperbanyakkan produk pelancongan yang mempunyai nilai pendidikan dan pengalaman, selain memberi pilihan baharu kepada pelancong untuk meneroka Melaka daripada sudut ilmu serta sains.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

