Komponen baharu bakal tingkat kutipan hasil – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

SERI NEGERI, 5 Jan – Dalam usaha memperkasakan pendapatan negeri pada tahun ini, kerajaan negeri telah menetapkan beberapa komponen baharu yang berperanan meningkatkan kutipan hasil melibatkan Dasar Penswastaan Baharu, sumbangan anak syarikat kerajaan negeri, pembangunan tambak laut melalui penubuhan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) Advisory Council dan hasil-hasil baharu yang lain.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, kerjasama daripada semua Jabatan Pemungut Hasil amat diperlukan jika mahu merealisasikan segala perancangan itu dapat dicapai, sekali gus memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat amnya.

SULAIMAN ketika mendengar taklimat dalam majlis tersebut.

“Antara komponen baharu yang terlibat dalam peningkatan kutipan hasil adalah Dasar Penswastaan Baharu, sumbangan anak syarikat Kerajaan Negeri, pembangunan tambak laut melalui penubuhan Melaka Waterfornt Economic Zone Advisory Council dan hasil-hasil baharu yang lain.

“Sehubungan itu, kerjasama daripada semua Jabatan Pemungut Hasil amat diperlukan bagi menjayakan misi Kerajaan Negeri dalam memastikan segala perancangan dapat dicapai dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya ketika hadir ke Majlis Penutup Bengkel Pemantapan Kutipan Dan Cadangan Hasil Baharu Negeri Melaka Tahun 2021 di sebuah hotel di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Zaidi Johari, Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas, Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta ketua jabatan serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

ANTARA ketua jabatan yang hadir dalam majlis itu.

Sementara itu, beliau menyifatkan bengkel tersebut merupakan platform bagi membincangkan isu serta cadangan dalam memacu pembangunan Melaka secara menyeluruh.

“Saya berpendapat, bengkel ini merupakan medium atau platform untuk membincangkan isu-isu dan cadangan baharu yang boleh meningkatkan hasil Kerajaan Negeri sekali gus memacu kegemilangan Negeri Melaka sehingga mampu menggamit dunia.

“Bengkel yang diadakan ini adalah bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri Melaka bagi memperkasakan lagi pendapatan negeri pada tahun 2021 selaras dengan penetapan bajet tahunan iaitu sebanyak RM445.96 juta yang melibatkan peningkatan sebanyak 14.28%,” katanya.

Tambahnya, beberapa strategi turut diketengahkan dalam Belanjawan tahun 2021, antaranya melibatkan penyediaan Insentif Impak Pandemik COVID-19; Memperluaskan Inisiatif Pintar; Meluaskan Aplikasi; Membangunkan Ekonomi Rakyat; Menggalakkan Pelaburan Berimpak Tinggi; Menggiatkan Pelaburan Sektor Pembuatan; Merancakkan Sektor Pelancongan; Memperhebat Institusi Pendidikan; Memperkukuh Kerajaan Tempatan; Meneruskan Insentif Kebajikan Masyarakat; Menyantuni Isu-Isu Rakyat dan Memperkukukan Institusi Perekonomian Islam.

Views:

557
Kongsi :
Previous post Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat di pantai timur dan Sabah
Next post Nilai eksport minyak sawit, produk sawit dijangka melebihi RM70 bilion
Ubah saiz-+=