Nilai eksport minyak sawit, produk sawit dijangka melebihi RM70 bilion

Masa Membaca:2 Minit, 31 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Jumlah nilai eksport produk sawit dan minyak sawit Malaysia bagi 2020 dijangka melebihi RM70 bilion berbanding RM67.5 bilion pada 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ia merupakan pencapaian yang amat bermakna bagi sektor itu dengan mengambil kira pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang tahun berkenaan.

Menurutnya, prestasi sektor itu bukan sahaja memanfaatkan negara melalui pendapatan eksport yang tinggi, malah turut memberi kebaikan kepada para pekebun kecil.

“Saya mesti mengucapkan tahniah kepada pengeluar minyak sawit khususnya pekebun kecil berikutan ketabahan dan daya tahan mereka dalam mempertahankan industri ini di sebalik unjuran yang suram.

“Menyedari kepentingan industri ini, kerajaan telah mempercepatkan pelaksanaan dasar untuk menangani isu-isu yang mungkin memberi impak kepada pembangunan industri yang penting ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Pameran Perdagangan Minyak Sawit Malaysia dan Seminar Digital 2021 (POTS Digital 2021).

Program empat hari bermula hari ini yang diadakan secara maya itu dianjurkan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), bertemakan “Minyak Sawit Malaysia – Melangkah Ke Hadapan Dalam Norma Baharu.”

Mohd Khairuddin berkata 2020 dimulakan dengan sentimen yang optimis, namun impak dan sejauh mana berlakunya pandemik global ini sama sekali tidak dijangka, menyebabkan hampir semua aktiviti sosio-ekonomi terhenti di seluruh dunia.

Bagi mengelakkan gangguan permintaan terhadap minyak sawit, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif seperti penangguhan duti eksport minyak sawit mentah (MSM) sejak Jun 2020 yang membantu meningkatkan eksport minyak sawit mulai Jun dan tempoh berikutnya.

“Saya yakin Malaysia bukan sahaja akan pulih daripada cabaran ini, malah akan menjadi lebih kuat berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kementerian itu dan agensinya seperti MPOC dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memastikan Malaysia – pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia — mengekalkan kedudukannya di pasaran eksport utama dan pada masa yang sama, meneroka peluang baharu.

Minyak sawit menyumbang 30 peratus daripada pengeluaran minyak dan lelemak global serta berperanan penting dalam memenuhi permintaan dan keperluan pasaran berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia juga amat menitikberatkan kepentingan alam sekitar dan menyelar kritikan tidak berasas membabitkan komoditi tersebut yang turut menjejaskan mata pencarian kalangan peladang dan pekebun kecil.

“Dakwaan kononnya penanaman sawit menyebabkan kemusnahan hutan hujan dunia yang amat berharga serta kepupusan hidupan liar sepenuhnya adalah tidak benar kerana Malaysia mempunyai lebih 60 undang-undang dan peraturan meliputi aspek perlindungan hidupan liar dan alam sekitar, kesihatan, keselamatan dan kebajikan pekerja serta kawalan pencemaran.

Mohd Khairuddin menegaskan perlindungan terhadap alam sekitar sentiasa diberi keutamaan dalam rancangan kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan ekonomi dan kesejahteraan.

“Sepanjang pembangunan negara, kita sentiasa memastikan alam sekitar diberi keutamaan seperti yang dipaparkan menerusi komitmen kita untuk mengekalkan 55 peratus daripada jumlah tanah yang ada sebagai hutan,” katanya.

Mengenai POTS Digital 2021, beliau berkata program itu tidak hanya mengetengahkan isu berkaitan pasaran, tetapi turut menyentuh soal pembangunan hijau dan mampan, kebimbangan mengenai kesihatan serta pandangan daripada kalangan pemimpin industri global.

Acara secara digital itu akan menyaksikan pembentangan 27 kertas kerja meliputi topik-topik industri minyak sawit seperti cabaran pasaran, pembangunan dan kemampanan, aplikasi inovatif dalam industri, aspek pemakanan dan pemakanan serta kemas kini pasaran dan unjuran harga.- BERNAMA

Views:

822
Kongsi :
Previous post Komponen baharu bakal tingkat kutipan hasil – Sulaiman
Next post Setia menunggu kepulangan suami…
Ubah saiz-+=