
KEJOHANAN EMPAT PENJURU, MEDAN MELAKA FC UJI KESERASIAN PEMAIN
BANDA HILIR 14 Ogos – Kejohanan Governor’s 77th Anniversary International Quadrangular Football Tournament 2026 menjadi medan penting buat Melaka FC dalam menguji kekuatan dan memantapkan keserasian pasukan sebelum menghadapi saingan Liga Super musim 2026/2027 bermula 22 Ogos ini.
Ketua Jurulatih Melaka FC E Elavarasan berkata, kejohanan julung kali diadakan itu secara tidak langsung dapat menguji kemampuan selepas lebih sebulan membentuk pasukan bagi beraksi pada musim baru.
“Pastinya sasaran kita dalam mana-mana pertandingan disertai adalah untuk menang malah persaingan antara kumpulan juga penting untuk membentuk pasukan. Pertandingan ini menjadi peluang untuk kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan perlu diperbaiki.
“Berdasarkan penilaian itu, kita boleh melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa supaya pasukan lebih mantap dan bersedia menghadapi saingan Liga Super,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran The Governor’s 77th Anniversary International Quadrangular Football Tournament 2026 yang turut dihadiri Presiden Melaka FC, Datuk Wira Dr. Azmi Ahmad dan Ketua Pasukan Melaka FC, Khairul Fahmi Che Mat di Ujong Pasir, hari ini.
Menurutnya, Melaka FC juga akan menggunakan baki masa yang ada untuk memperkemaskan corak permainan dan meningkatkan persefahaman dalam kalangan pemain bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang aksi pembukaan liga.
Terdahulu, Kejohanan Governor’s 77th Anniversary International Quadrangular Football Tournament 2026 julung kali diadakan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-77 Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Selain Melaka FC sebagai tuan rumah, tiga pasukan lain yang akan beraksi adalah Jurong FC, Singapura; Persik Kediri FC, Indonesia dan PPCFC, Kemboja.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

