MAIM BAIK PULIH LIMA PREMIS TERBIAR DALAM KAWASAN TAPAK WARISAN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 14 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengambil tindakan segera dengan memberi nafas baharu kepada lima premis miliknya yang mengalami kerosakan dalam kawasan tapak warisan Bandaraya Melaka.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, empat unit premis berkenaan terletak di Jalan Hang Kasturi, sementara itu sebuah lagi di Jalan Kuli perlu dibersihkan dan menjalani proses baik pulih.

Katanya, MAIM telah melantik kontraktor untuk melaksanakan proses pembersihan dan penambahbaikan secara berperingkat, dengan kerja awal dijangka bermula minggu depan.

“Selepas lawatan tapak baru-baru ini bersama Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat kepada YAB Ketua Menteri Melaka, Yong Fun Juan, kita terus memaklumkan kepada kontraktor untuk menjalankan kerja pembersihan dan baik pulih berdasarkan kemampuan MAIM.

“Struktur bangunan masih kukuh berdasarkan semakan dibuat, namun keadaannya kelihatan tidak terurus termasuk terdapat pokok yang tumbuh kerana sudah lama ditinggalkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Shaifulfazlee berkata, kos baik pulih dianggarkan antara RM300,000 hingga RM750,000 bagi setiap premis mengikut keadaan bangunan berkenaan yang memerlukan kaedah pemulihan tertentu.

“Daripada keseluruhan 32 premis milik MAIM di kawasan berkenaan, 25 unit telah berjaya disewakan manakala lima lagi yang mengalami kerosakan teruk kini diberi perhatian untuk dipulihkan,” katanya.

Katanya, MAIM turut membuka peluang kepada pihak swasta yang berminat untuk membangunkan premis berkenaan menerusi kaedah penyewa menanggung sendiri kos baik pulih.

“Bagi menggalakkan penyertaan pihak swasta, kita memberi pengecualian sewaan antara tiga hingga enam bulan pada tahun pertama dan pengurangan kadar sewaan sehingga 50 peratus bagi tempoh tiga tahun pertama.

“Tempoh sewaan juga boleh diberikan antara 10 hingga 15 tahun bagi membolehkan pihak penyewa mendapatkan semula kos pelaburan mereka,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja dapat mengoptimumkan aset MAIM, malah memastikan premis strategik di kawasan tumpuan pelancong itu terus dimanfaatkan dan tidak dibiarkan terbiar.

“Usaha ini turut memberi peluang kepada pihak swasta menghidupkan semula premis berkenaan sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan aktiviti ekonomi di kawasan warisan pusat Bandaraya Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post MELAKA FC ANJUR KEJOHANAN EMPAT PENJURU SEMPENA ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG DI-PERTUA NEGERI