MPHTJ SELESAIKAN 70.2 PERATUS ADUAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 14 Ogos – Penyelesaian masalah dan aduan rakyat menjadi antara ukuran utama prestasi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), selain pelaksanaan projek serta kutipan hasil.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, sehingga 31 Julai 2026 sebanyak 2,101 aduan rakyat diterima pihaknya dengan 1,475 atau 70.2 peratus telah berjaya diselesaikan.

“Bagi saya, inilah antara ukuran sebenar prestasi kita, bukan sekadar berapa banyak hasil dikutip atau projek dilaksanakan, tetapi sejauh mana masalah rakyat benar-benar berjaya diselesaikan.

“Sebab itu, jangan sesekali memandang kecil setiap tugas yang dilaksanakan. Mungkin ramai antara kita bekerja di belakang tabir, jauh daripada perhatian dan sorotan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ bagi Ogos 2026 anjuran Jabatan Korporat Pembangunan Masyarakat dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat MPHTJ di Melaka Mall, di sini, pada Rabu.

Sapiah berkata, setiap warga kerja MPHTJ memainkan peranan penting dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat terus berada pada tahap terbaik.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana saudara dan saudari saban hari menggalas amanah, menyantuni keperluan rakyat serta memastikan nadi pembangunan negeri terus bergerak.

“Sebab itu, saya semakin yakin bahawa MPHTJ sedang bergerak pada landasan yang betul. Pencapaian MPHTJ bukan hasil usaha seorang individu atau jabatan semata-mata, sebaliknya lahir daripada komitmen dan kerjasama seluruh warga kerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

355
Kongsi :
Previous post PERZIM SASAR 4,000 PENGUNJUNG SERBU ENAM MUZIUM 31 OGOS INI