Kontena bawa masuk e-sisa dari AS di arah hantar pulang – JAS

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

GEORGE TOWN 13 Julai – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan sebuah kontena membawa masuk buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) dari Amerika Syarikat (AS) untuk dihantar pulang ke negara asalnya, semalam.

Pengarah JAS negeri Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu susulan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) Butterworth dekat sini semalam, yang didapati membawa e-sisa tanpa mendapat kelulusan pihaknya terlebih dahulu.

“Pemeriksaan itu telah dijalankan oleh pegawai JAS Pulau Pinang bersama pegawai kastam, antara buangan yang ditemui di dalam kontena tersebut adalah skrin elektronik rosak, papan elektrik yang berada dalam keadaan tercerai dan komponen elektronik yang lain.

“Semakan lanjut mendapati kontena tersebut berasal dari AS. Buangan elektrik dan elektronik ini dibawa masuk bagi tujuan pelupusan secara haram di Malaysia, di bawah Konvensyen Basel kelulusan awal dari negara penerima dan negara transit adalah diperlukan untuk pengimportan sebarang buangan terjadual termasuk e-sisa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau mengikut prinsip asas Konvensyen Basel juga, setiap buangan perlu dirawat atau dilupus di negara asal melainkan atas sebab-sebab tertentu seperti ketiadaan kemudahan rawatan sisa dan telah mendapat kelulusan awal JAS.

Sehubungan itu, Sharifah Zakiah berkata JAS telah mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pihak pengimport untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal dan kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan tindakan yang tegas diambil tanpa notis lanjut.

“Mana-mana pihak yang mengimport buangan terjadual, termasuk e-sisa (SW110) ke Malaysia tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.

Beliau berkata buangan e-sisa adalah dilarang untuk diimport kecuali mengikut cara pelupusan dengan kaedah yang betul kerana buangan tersebut mengandungi bahan berbahaya seperti logam berat yang boleh mencemarkan alam sekitar jika tidak diuruskan dengan selamat.

SEORANG pegawai JAS Pulau Pinang menunjukkan bahan buangan elektrik dan elektronik yang dibawa masuk secara haram dari AS untuk dilupuskan di negara ini ketika pemeriksaan di NBCT, Pulau Pinang, semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post Zuraida berharap Bella dapat pembelaan sewajarnya
Next post PPV IDCC ditutup sehari, 204 petugas positif
Ubah saiz-+=