Konvoi Basikal Klasik Bukit Rambai imbau nostalgia lama

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

BUKIT RAMBAI 25 Jun – Program Kayuhan Sulong Basikal Klasik Bukit Rambai sejauh 18 kilometer ke pusat bandar berjaya menghimpunkan lebih 200 basikal klasik yang digunakan ketika era penjajahan Tanah Melayu satu ketika dulu.

Antara basikal tua yang digunakan oleh peserta program seperti basikal posmen, Philips, Triumph dan Robin Hood selain pelbagai aneka pakaian seragam zaman dahulu.

Biarpun basikal klasik, lebih 10 peratus peserta program terdiri daripada belia berusia 10 hingga 25 tahun malah ada di kalangan mereka mengenakan pakaian yang popular pada zaman nenek moyang mereka.

Pengerusi program, Roslan Mohd. Salleh berkata, pihaknya tidak menyangka mendapat sambutan luar biasa daripada peserta memandangkan hanya meletakkan sasaran sekitar 150 peserta sahaja.

Menurutnya, peserta paling muda menyertai program itu berusia 12 tahun dan paling tua berusia 70 tahun malah mendapat penyertaan dari luar Melaka iaitu Perlis dan Kelantan.

“Kita sudah merancang program ini sejak tahun 2018 lagi namun disebabkan pandemik COVID-19, kita terpaksa tunda program ke hari ini.

“Tujuan kita anjurkan program ini adalah untuk memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pelancongan dengan banyak kesan sejarah sejak zaman Portugis, Belanda dan Inggeris dalam kalangan pemilik basikal klasik terutama generasi muda,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dua sahabat, Mohd Razak Hasan (kiri) dan Mahat Kassim (kanan) mengenakan pakaian Polis Bukit Kepong disamping basikal klasik yang digunakan pada program itu.

Menurut Roslan, program anjuran bersama Kelab Asamboi Bikers dan Kelab Basikal  Klasik Bukit Rambai itu bermula dari Rambai Utama, Klebang hingga ke Pulau Gadong dan di setiap tempat peserta akan singgah untuk melawat pelbagai kesan sejarah dan produk pelancongan.

Katanya, para peserta telah mula berkumpul seawal pukul 7 pagi dengan berkumpul di pintu gerbang Taman Rambai Utama sebelum bergerak ke Balai Polis Batang Tiga untuk taklimat serta lawatan muzium polis di situ.

Seterusnya, kata beliau, peserta kayuhan bergerak ke Pantai Klebang dan mengunjungi Muzium Kapal Selam, seterusnya melalui kawasan sawah Stulang Daeng sebelum berakhir di Dewan Taman Rambai Utama.

“Peserta diiringi anggota polis bagi memudahkan perjalanan dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Peserta turut dibawa menyelusuri dan menikmati suasana pagi kampung dengan melalui sawah di kampung Stulang Daeng,” ujarnya.

Kata Roslan, pihaknya merancang menganjurkan program yang sama pada masa depan berdasarkan sambutan luar biasa dari peserta kali ini termasuk penyertaan dari kaum Cina dan India.

Peminat basikal klasik tidak melepaskan peluang mendapatkan aksesori basikal yang dijual sempena program itu.

Sementara itu, Penasihat dan Penaung program, Hilmy Daud berkata, program itu selain merupakan aktiviti sihat, ia juga mengeratkan ukhwah antara peminat basikal klasik.

“Ia juga mempunyai nilai tersendiri kerana kita bukan hanya bersosial tetapi ia menerapkan elemen murni antara generasi baharu dan lama, bertukar cerita dan kisah yang menjadi sejarah dalam keluarga masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1913
Kongsi :
Previous post Pengalaman mengajar saya – Fairul Nizam
Next post Harga ayam tidak naik terlalu tinggi
Ubah saiz-+=