Konvoi Semarak Merdeka Melaka 2020 ‘masuk kampung’

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 21 Ogos – Program Konvoi Semarak Merdeka Melaka 2020 mencipta kelainan apabila akan menjelajah ke kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, program yang telah memasuki tahun ketiga itu adalah anjuran Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) dan Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Kelab Fast Bikes.

Beliau berkata, program selama tiga hari itu yang akan berakhir pada 30 Ogos akan membabitkan setiap daerah di Melaka.

“Seramai 58 peserta motosikal berkuasa tinggi akan menyertai Konvoi Semarak Merdeka Melaka 2020 ini yang membabitkan penyertaan domestik dari seluruh Malaysia.

“Penganjuran program ini bertujuan menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan negara yang ke-63,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, program ini juga secara tidak langsung dapat mempromosikan sektor pelancongan dan memperkenalkan produk yang terdapat di setiap daerah.

“Kali ini kita memberi penekanan kepada ‘eco tourism’ yang pertama kali kita sasarkan kawasan luar bandar.

“Selain itu peserta konvoi juga akan turut mengedarkan risalah dan memberi kesedaran berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rangkaian Covid-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, penganjuran Konvoi Semarak Merdeka Melaka 2020 turut mendapat sokongan beberapa agensi dan pusat pelancongan antaranya Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Kompleks Falak Al- Khawarizmi, Zoo Melaka dan Pusat Konservasi Penyu Padang Kemunting.

“‘Flag Off’ konvoi itu akan disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Nancy Shukri di Malaysia Tourism Centre (MaTiC) pada 28 Ogos nanti,” katanya.

Views:

572
Kongsi :
Previous post 70 ahli SKM didedahkan perniagaan baharu
Next post Anak kambing serow Zoo Melaka diberi nama Tuah
Ubah saiz-+=