
KOPERASI MELAKA DIGALAKKAN TEROKA PERNIAGAAN AIS KIUB
AYER KEROH 3 September – Koperasi di negeri ini disarankan supaya meneroka perniagaan pembuatan dan membekal kuib ais berikutan permintaan serta pasaran produk itu yang tidak pernah putus.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, cadangan itu adalah susulan lawatan beliau bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka ke Koperasi Setia Jaya Pulau Redang, Terengganu bersempena Program Eksplorasi Pasaran dan Jaringan Perniagaan (Ekspansi), baru-baru ini.
“Koperasi Setia Jaya berjaya menjalankan perusahaan pembuatan ais kiub bagi menampung keperluanseluruh Pulau Redang. Kejayaan itu memberi inspirasi kepada kami untuk membawa konsep sama ke Melaka.
“Malah, kami melihat projek ini berpotensi besar jika diusahakan oleh koperasi tempatan kerana permintaan tinggi dan pasaran sentiasa ada,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, selain ais kiub, koperasi berkenaan juga pernah menceburi perniagaan sarang burung walit selain pajakan telur penyu dan kini mengembangkan aktiviti penjanaan pendapatan menerusi aktiviti sewaan bot, van serta inap desa (homestay).
“Model perniagaan pelbagai itu membuktikan koperasi boleh berkembang jika bergerak seiring dengan keperluan komuniti setempat,” katanya.
Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hashim dan Pengarah SKM Melaka, Mustafa Kamal.
Menurut Allex Seah, penglibatan 399 ahli koperasi terdiri daripada penduduk Pulau Redang menjadi bukti bahawa semangat kerjasama dan sokongan masyarakat tempatan adalah faktor utama kejayaan koperasi tersebut.
“Melaka melihat potensi ini sebagai peluang memperkukuh sektor koperasi, yang bukan sahaja meningkatkan pendapatan ahli malah menyumbang kepada ekonomi setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.