Kostum haiwan comel hilangkan rasa takut kanak-kanak ambil vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KLEBANG 14 Feb – “Pada awalnya anak saya takut untuk ambil vaksin, tapi bila sampai di pusat vaksin dia terus lupa dan bersemangat kerana ada kostum haiwan dan dekorasi safari disediakan dan petugas di sini,” kata Tan Hui Lin, 36.

Ibu kepada empat anak itu berkata, suasana ceria dan dihiasi belon berwarna-warni itu sekali gus memberi keceriaan kepada dua anaknya yang berusia 10 dan tujuh tahun untuk mengambil suntikan vaksin hari ini.

“Suasana di sini seakan majlis hari jadi, anak saya pada awalnya yang gementar untuk divaksin bertukar ceria sewaktu tiba di sini.

“Tertarik dengan dekorasi safari di sini…dia tak perasan yang petugas kesihatan telahpun memberi suntikan vaksin,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, di sini.

HUI Lin (kanan) bersama anaknya di PPV Encore.

Bagi Shadatul Ain Othman, 32 pula dia bersyukur kerana anaknya tidak langsung gementar, malah tidak sabar untuk menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids).

“Saya kerja kerajaan risiko tu banyak, jadi memang saya galakkan anak-anak ambil vaksin…alhamdulillah anak saya tidak takut malah lebih semangat dan tidak sabar.

“Suasana di PPV ini pun sangat ceria dengan muzik yang dipasang memberi lebih semangat kepada kanak-kanak yang ingin ambil vaksin,” katanya.

NICHOLAS

Sementara itu, seorang bapa, Nicholas Wi, 40, berpendapat ibu bapa wajar mendaftar anak-anak untuk menerima vaksin COVID-19 memandangkan mereka juga terdedah dengan risiko jangkitan ketika berada di sekolah.

“Saya rasa semua perlu ambil vaksin untuk kanak-kanak sebab sekarang vaksin memang penting untuk peringkat kanak-kanak, dewasa ataupun lain lain.

“Jadi lebih baik kita ambil sebab kanak-kanak dia akan pergi ke sekolah, jadi dengan adanya vaksin ini mereka lebih selamat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

669
Kongsi :
Previous post EXCO tegur pekerja merokok di kilang
Next post Jenazah pelakon, pengarah Jit Murad selamat dikebumikan
Ubah saiz-+=