KPDN akan ambil tindakan tegas terhadap pihak tukar bungkusan atau label beras

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PUTRAJAYA, 9 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati menukar bungkusan atau label beras tempatan serta menjualnya di pasaran pada harga beras import untuk meraih keuntungan berlipat kali ganda.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

“KPDN ingin memberikan amaran dan peringatan keras kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan termasuklah tidak mengambil kesempatan dengan melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras tempatan kepada beras import dan dijual pada harga jualan runcit beras import, bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 boleh dikenakan penalti iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala syarikat boleh didenda sehingga RM250,000.

Salahuddin turut menasihati pengguna agar lebih berhati-hati dan jika mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkaitan boleh mengemukakan aduan bersama butiran serta maklumat yang lengkap melalui saluran WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000.

Aduan juga boleh dibuat menerusi talian 1-800-886-800, portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my, e-mel di [email protected], aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN atau Bilik Gerakan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088/6245.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1254
Kongsi :
Previous post Tandas awam Jasin bakal bertaraf BMW
Next post Budaya lapan etnik memukau di Festival Melaka Heritage
Ubah saiz-+=