KPM diminta nyatakan pelan tangani peningkatan kluster pendidikan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LINGGI 23 April. – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan pelan menangani peningkatan kluster COVID-19 dalam sektor pendidikan.

Beliau berkata, kebanyakan ibu bapa semakin bimbang berikutan peningkatan kluster itu sejak beberapa minggu lalu.

MAS Ermieyati (kiri) menyampaikan sumbangan beras lima kilogram kepada sebahagian daripada 200 penerima dalam kawasan DUN Kuala Linggi di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. – Foto DIN AHMAD

“Saya harap KPM dapat menyatakan pendiriannya mengenai kluster yang ada kaitan dengan sektor pendidikan bagi membantu mengurangkan kebimbangan ibu bapa murid.

“Saya harap pelan itu dapat dinyatakan segera kerana saya juga ada anak bersekolah dan seperti ibu bapa yang lain, saya juga bimbang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 200 penerima dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, di Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Mereka diberikan wang tunai RM150 dan beras lima kilogram bagi meringankan beban perbelanjaan harian sepanjang menjalani ibadah puasa.

Bagaimanapun, Mas Ermieyati menegaskan ia bukan bermakna KPM sebelum ini tidak mengambil langkah menangani pandemik berkenaan, cuma keadaan semasa memerlukan KPM menyatakan pelan sedemikian.

Beliau menegaskan, ibu bapa sentiasa menyokong usaha KPM untuk membantu memutuskan rantaian COVID-19 bagi memastikan anak masing-masing tidak dijangkiti pandemik berbahaya itu.

Terdahulu, ketika berucap, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, meminta penduduk luar bandar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dilaporkan berkata, kementerian itu mengesan 83 kluster jangkitan COVID-19 dalam sektor pendidikan sejak 1 Januari lalu hingga Selasa lalu.

Kluster itu membabitkan 4,868 kes seperti dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

386
Kongsi :
Previous post Muhyiddin mahu KPDNHEP bekerjasama dengan agensi lain tangani kenaikan harga
Next post Cucu ugut bunuh nenek
Ubah saiz-+=