KSM terima 4,661 aduan majikan tidak dibayar dan lewat bayar gaji

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KANGAR, 18 Feb – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima 4,661 kes aduan berkaitan majikan tidak bayar gaji dan lewat membayarnya, menerusi aplikasi digital ‘Working for Workers’ (WfW), dan ia merupakan jumlah bentuk aduan tertinggi yang diterima pihaknya sehingga 15 Feb lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata pada masa yang sama 1,394 aduan diterima berhubung majikan yang membuat pemotongan upah tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Secara keseluruhan sehingga kini KSM telah menerima 13,939 kes yang merangkumi pelbagai aduan,” katanya kepada pemberita ketika Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 dan Pematuhan Akta 342 di Kangar di sini, hari ini.

Sementara itu berhubung penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 Akta 446, Awang berkata secara keseluruhan KSM telah melakukan 40,597 pemeriksaan terhadap majikan melibatkan 171,420 penginapan pekerja.

Beliau berkata daripada jumlah itu 1,192 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta 446, dan 135 kes telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen seluruh negara melibatkan denda yang perlu dibayar menjangkau RM979,000.

Awang berkata 846 kertas siasatan telah diberi izin kompaun, melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM10,268,000, dan sehingga kini RM4,272,000 kompaun telah berjaya dikutip menerusi kesalahan di bawah akta berkenaan.

“Kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan pelanggaran di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja serta peraturan 3 dan 4 di bawah Standard Minimum Perumahan, Peningapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

765
Kongsi :
Previous post Kertas siasatan ADUN positif dadah diserah kepada Pengarah Pendakwaan Negeri
Next post Berdepan tuduhan gangguan seksual, Ebit Lew serah kepada proses mahkamah
Ubah saiz-+=