Kumpool Kasturi dapat sambutan

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Januari – Perkhidmatan ‘Bus On Demand’ atau Kumpool Kasturi mendapat maklum balas amat positif sejak dilancarkan pada 16 September tahun lalu.

Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd, Rohazam Bakar berkata Kumpool Kasturi mendapat permintaan tinggi setiap hari daripada penumpang sekitar Zon Bandar Hilir.

Katanya, bas yang hanya menerima penumpang dan bergerak mengikut zon dalam radius antara tujuh kilometer (km) ke 10 km itu juga sering mendapat permintaan tinggi pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk ke Zon Bebas Kenderaan.

“Jika hari biasa, ramai penumpang adalah dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Bandaraya Melaka, manakala pada hujung minggu pula permintaan tinggi daripada penumpang meninggalkan kenderaan di kawasan parkir dalam radius tujuh ke 10 km untuk ke Zon Bebas Kenderaan.

“Jumlah atau anggaran penumpang kita masih belum menerima data lengkap, namun dengan empat unit bas Kumpool Kasturi yang disediakan ia dapat menampung permintaan semasa penumpang.

“Kumpool Kasturi ini beroperasi setiap hari bermula jam 6.30 pagi sehingga jam 11 malam, menerima dan menghantar penumpang dalam Zon Bandaraya dan tambang yang dikenakan sangat berpatutan serendah RM1 hingga RM5.40,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Terminal Bas Melaka Sentral.

Mengulas lanjut, Rohazam berkata bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), pihaknya turut menambahbaik sistem perkhidmatan yang disediakan.

“Sudah pasti sepanjang tahun ini akan ramai pengunjung datang ke Melaka dan kita Panorama Melaka menyediakan pelbagai perkhidmatan kenderaan awam untuk pelancong menuju ke destinasi.

“Antara penambahbaikan yang akan dilakukan daripada segi jangkaan ketibaan bas menerusi permintaan, kita harapkan lebih ramai pengunjung domestik atau luar negara dapat memanfaatkan penggunaan bas yang disediakan oleh Panorama Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1115
Kongsi :
Previous post Penternak tilapia berjiwa kental
Next post UPKK kertas sirah ditangguh ke 23 Jan
Ubah saiz-+=