
LAKSANA EMPAT LANGKAH STRATEGIK PERKASA JARINGAN KERJASAMA MELAKA-JERMAN
AYER KEROH 8 Mei – Empat langkah strategik dicadang untuk dilaksanakan bagi memperkukuhkan lagi jaringan kerjasama antara Kerajaan Negeri Melaka dan World Economic Council (WEC), kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri, berharap kerjasama itu kelak akan memperkasakan lagi peranan Melaka sebagai destinasi pelaburan utama, khususnya dalam bidang teknologi tinggi, automasi, tenaga hijau, Industri 4.0 dan digitalisasi.
Jelas beliau, langkah pertama akan dilaksanakan adalah Penubuhan Melaka-International Economic Senate Joint Task Force yang berperanan mengenal pasti peluang, menyelaraskan kepentingan strategik dan memfasilitasi projek inovasi antara IWS serta pemegang kepentingan di negeri ini.
“Kedua, menganjurkan Forum Pelaburan Tahunan Melaka-Jerman iaitu menjadi tuan rumah forum pelaburan tahunan untuk mempamerkan prospek pelaburan, memperkukuh hubungan ‘business to business’ (B2B) dan ‘governance to governance’ (G2G) antara Melaka dan Jerman.
“Sementara itu tindakan ketiga pula penyertaan IWS dalam acara utama Melaka dengan menjemput ahli IWS untuk terlibat dalam pameran ekonomi utama dan forum di Melaka sebagai penceramah, pempamer serta rakan strategik.
“Manakala keempat adalah program pertukaran teknikal dan pembelajaran iaitu merancang lawatan teknikal dan program pertukaran untuk berkongsi amalan terbaik dalam Tadbir Urus Alam Sekitar dan Sosial (ESG), digitalisasi, pendidikan vokasional serta pembuatan lanjutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Melaka (MCORP) dan WEC di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidirah Abu Zahar, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan negeri.
Yang turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Pengerusi WEC, Peter Nussbaum.
Menurut Ketua Menteri lagi, kesemua inisiatif yang dicadangkan diharapkan akan meletakkan asas bagi kerjasama yang lebih kukuh dan berimpak tinggi antara Melaka dan WEC.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.