Langkah ‘mengurung’ rakyat tidak lagi sesuai – Ismail Sabri

0
597
ISMAIL Sabri. Foto fail.

KUALA LUMPUR 14 Sept – Kerajaan membuka sektor ekonomi memandangkan langkah ‘mengurung’ rakyat dilihat tidak lagi sesuai, malah dikhuatiri mendatangkan lebih banyak implikasi termasuk kesihatan mental, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembukaan sektor itu bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, malah memberi peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup.

“Pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah wajar berikutan peratusan penerima vaksin yang tinggi.

“Malah, keputusan ini dibuat dengan mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai kewajaran pembukaan semula 11 sektor ekonomi ketika kes harian baharu COVID-19 masih mencatatkan angka membimbangkan.

Ismail Sabri berkata sehingga kini, sebanyak 74.7 peratus penduduk dewasa telah lengkap menerima vaksin COVID-19 manakala 91.6 peratus menerima satu dos vaksin.

Bagaimanapun, beliau berkata sektor berkenaan dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk hanya pelanggan yang telah lengkap divaksin dibenarkan masuk membuat urus niaga dan mendapatkan perkhidmatan, selain pekerja permis berkaitan juga mesti melengkapkan vaksinasi.

Sebanyak 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa Satu PPN berkuat kuasa 16 Ogos lepas meliputi antaranya kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas, kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan.

Menjawab soalan tambahan Mohd Salim berhubung sama ada keputusan pembukaan sektor ekonomi itu mengambil kira risiko penularan COVID-19 terhadap mereka yang berumur 17 tahun ke bawah yang belum divaksin, Perdana Menteri berkata rakyat perlu mengamalkan disiplin dan kawalan kendiri bagi mengelak diri sendiri, keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti wabak tersebut.

“Apabila kita buka (sektor ekonomi), kita lihat di tempat percutian penuh, tidak ada memakai pelitup muka pun, maknanya masa depan negara kita dari segi COVID-19 ini bergantung kepada kita sendiri, kita tidak boleh harapkan vaksin semata-mata tetapi kawalan kendiri itu sangat penting. Kalau tidak ia akan menjadi sia-sia sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pembukaan semula 11 sektor ekonomi itu turut melihat kepada sains dan data berkaitan kluster COVID-19 sektor berkenaan.

“Sebagai contoh, ramai yang mengatakan gunting rambut ini bahaya sebab kontrak rapat tetapi sepanjang 2020, hanya satu melibatkan kes kluster gunting rambut.

“Begitu juga dengan kedai cuci kereta, ramai kata pekerja warga asing dan sebagainya, jadi tentu jangkitan lebih mudah, tetapi sepanjang 2020, tidak ada satu pun (kes) melibatkan kedai cuci kereta. Data-data seperti inilah yang menyebabkan kita fokus kepada sektor-sektor tertentu untuk dibuka walaupun di tempat lain ada kluster-kluster lain,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Ismail Sabri berkata Muhyiddin telah mempengerusikannya sejak kewujudan MPN.

“Memang Pagoh telah pun mempengerusikan mesyuarat ini sejak daripada mula MPN ini diwujudkan, jadi sebab itu kita memberikan kepercayaan kepada Pagoh untuk meneruskan tugasnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.