Lari ‘tak cukup tanah’ nampak penguat kuasa JAIM

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 4 Mei. – Tiga lelaki tidak sempat menikmati nasi campur sebagai juadah makan tengah hari apabila diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam satu Operasi Tak Puasa yang dijalankan hari ini.

Ketiga-tiga mereka dilihat sedang menceduk nasi lauk kari, namun apabila menyedari kehadiran penguat kuasa JAIM, kesemua mereka bertempiaran lari.

Tinjauan Melaka Hari Ini di premis terbabit, terdapat juga mendapati air bungkusan pelbagai jenis sedang disiapkan pekerja kedai terbabit, namun tidak sempat dijual.

Bagaimanapun, dalam satu lagi serbuan berasingan di sebuah premis di Batu Berendam, seorang lelaki yang sedang membawa bungkusan berisi tiga nasi campur berjaya ditahan.

JURUTEKNIK penyaman udara ditahan penguat kuasa JAIM selepas didapati membeli makanan tengahari di sebuah restoran di Batu Berendam.

Ketika ditanya pihak penguat kuasa, lelaki terbabit yang juga juruteknik penyaman udara mendakwa makanan itu dibelikan untuk pekerja warga asing warga Bangladesh, namun gagal mengemukakan bukti.

Di atas kesalahan itu, JAIM mengeluarkan dua surat perintah hadir kepada pembeli dan pemilik restoran yang didapati bersubahat menjual makanan kepada umat Islam yang tidak berpuasa.

Pengarah JAIM Datuk Che Shukri Che Mat yang turut menyertai operasi terbabit berkata, sepanjang Ramadan ini, sebanyak 32 operasi dijalankan pihaknya melibatkan 399 premis di seluruh Melaka.

Daripada jumlah itu ujarnya, sebanyak 39 kes ponteng puasa berjaya dikesan iaitu membabitkan 29 kes di daerah Melaka Tengah dan masing-masing tiga dan tujuh kes di daerah Alor Gajah dan Jasin.

“Kebanyakan kes membabitkan pembelian makanan di restoran iaitu 12 kes, selain kita turut menahan tiga individu yang sedang makan dan minum di kedai serta 10 yang sedang merokok.

“Rata-rata individu terbabit memberi alasan tidak sihat termasuklah mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung sebagai alasan untuk tidak berpuasa.

“Mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 jika makan, minum, menjual serta membeli, kesalahan pertama boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, manakala bagi kesalahan merokok ia boleh didenda tidak lebih RM500 atau dipenjara tidak melebihi tiga bulan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya telah mengesan beberapa premis di daerah Melaka Tengah yang menjual makanan kepada orang tidak berpuasa menggunakan kaedah pandu lalu.

“Atas sebab itu, kita akan terus menjalankan pemantauan dan rondaan secara dalam hari terakhir Ramadan ini terutama membabitkan lokasi panas yang menjadi tumpuan umat Islam tidak berpuasa.

“JAIM mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya terus memelihara kesucian agama Islam dan tidak mencemarkannya di bulan yang mulia ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1192
Kongsi :
Previous post SPRM pantau jabatan kerajaan disyaki monopoli kartel projek
Next post KPDNHEP rampas selipar dan kasut jenama tiruan bernilai RM12,800
Ubah saiz-+=