Lebih 10,000 kunjungi Jalan Jonker dalam dua hari

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat
PENGUNJUNG yang ingin memasuki pasar malam Jalan Jonker perlu melalui pemeriksaan suhu.

BANDA HILIR 28 Jun – Pembukaan semula pasar malam Jonker Street dalam tempoh dua hari operasi percubaan merekodkan jumlah kedatangan pelancong di luar jangkaan iaitu melebihi 10,000 pengunjung.

Jumlah itu berdasarkan rekod daftar pelancong di empat pintu masuk yang dipantau Jawatankuasa Jonker Walk bagi memastikan pengunjung mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.

Timbalan Pengerusi Jonker Walk, Datuk Wira Gan Tian Loo berkata, pihaknya mula menjalankan operasi percubaan bermula Jumaat lalu sebelum operasi sepenuhnya dibuka minggu hadapan.

Katanya, hari pertama operasi percubaan (trial run) pada Jumaat lalu, seramai 3,500 pengunjung manakala malam tadi, merekodkan jumlah yang agak ramai sehingga menghampiri 10,000 pengunjung.

“Bagaimanapun, jumlah pengunjung yang ramai itu masih dipantau dari segi penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

“Malah kita tetapkan kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah tidak dibenarkan berada di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi MHI hari ini.

Tian Loo berkata, jawatankuasa Jonker Street turut mengatur semula petak penjaja supaya orang ramai tidak berkerumun di setiap gerai sepanjang operasi.

“Kita patuh kepada penjarakan sosial dan menetapkan 2.5 meter jarak antara gerai penjaja jadi dalam tempoh tiga hari operasi percubaan ini kita masih menyusun semula petak gerai penjaja.

“Kita benarkan penjaja menjalankan perniagaan fasa demi fasa. Semalam sebanyak 150 penjaja dan hari ini sebanyak 200 penjaja,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan persetujuan yang dimuktamadkan bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), hanya empat laluan pintu masuk dibenarkan dibuka.

“Beberapa jalan sudah ditutup dan setiap pintu masuk menempatkan anggota RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk mengambil suhu serta pendaftaran maklumat pengunjung menerusi MySejahtera.

“Pegawai penguatkuasa MBMB turut berada di lokasi sepanjang dua hari operasi bagi membuat pemantauan terhadap pematuhan SOP antara pengunjung dan penjaja,” katanya.

Views:

497
Kongsi :
Previous post MYHaus sasar sehingga tiga buah rumah untuk dibina, dibaiki
Next post PM gesa PBT, agensi kerajaan proaktif
Ubah saiz-+=