PM gesa PBT, agensi kerajaan proaktif

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

MUAR 28 Jun – Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak seharusnya terkebelakang berbanding negara-negara lain dalam fasa pemulihan ekonomi, terutama apabila menjadi antara negara yang diiktiraf terbaik dalam mengawal penularan wabak COVID-19.

Menurutnya atas kesedaran itulah, kerajaan telah mengambil keputusan yang tegas dan berani untuk membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat bagi memastikan semua perniagaan atau industri boleh memulakan semula aktiviti, sekali gus memulihkan perniagaan mereka.

“Saya memperingatkan, jangan ada apa pun sekatan atau halangan tidak perlu bagi perniagaan-perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula daripada menjalankan urusan perniagaan mereka.

“Kita mesti permudahkan urusan mereka. Sekiranya mereka tidak punyai lesen, permudahkan urusan permohonan dan percepatkan proses memberi kelulusan kepada mereka,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Muhyiddin berkata sektor ekonomi di kebanyakan negara terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 dan Malaysia juga adalah antara negara yang tidak terkecuali menerima tempiasnya.

Terdahulu, sesi perjumpaan yang berlangsung hampir dua jam secara tertutup itu memberikan peluang kepada Perdana Menteri untuk berdialog dengan 37 wakil persatuan peniaga serta industri dalam daerah Muar di Pejabat Daerah Muar.

Persatuan itu adalah dari kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), penternak, perusahaan perabot, pengusaha bas, peniaga pasar malam dan pasar awam, pusat jagaan orang tua, di samping persatuan kontraktor dan wakil Dewan Perniagaan India Muar.

Perjumpaan juga dihadiri oleh wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Unit LAKSANA Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Perjumpaan ini adalah penting kerana mengambil kira Muar sebagai Bandar Perabot Malaysia yang mempunyai keluasan kawasan industri seluas kira-kira 400 hektar di Bakri.

Selain itu, ia mengambil faktor Muar terkenal dengan tarikan sajian makanan dan tempat pelancongan tempatan.

– BERNAMA

Views:

287
Kongsi :
Previous post Lebih 10,000 kunjungi Jalan Jonker dalam dua hari
Next post PM gesa agensi kerajaan, PBT bantu peniaga terkesan Covid-19
Ubah saiz-+=