Lebih 150,000 pengunjung hadir sepanjang lima hari KIAM’23

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PAYA RUMPUT 2 Januari – Lebih 150,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Islamik Antarabangsa Melaka Tahun 2023 (KIAM’23) yang melabuhkan tirainya malam tadi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kehadiran ratusan ribu pengunjung membuktikan program berbentuk keagamaan dan kerohanian yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan dalam kalangan pelancong selain orang Melaka sendiri.

Katanya, KIAM’23 bertujuan mewujudkan suatu kelainan bersempena Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Tahun Baharu 2024 dengan mengetengahkan program sosial berkonsepkan Islamik serta patuh syariah.

“Antara pencapaian KIAM’23 boleh kita disebut adalah membuka hati dua saudara baharu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah ketika program cermah perdana yang lalu.

“Seterusnya, pada Program Bacaan Al-Quran 24 Jam Tanpa Henti telah menyaksikan kejayaan sebanyak 65 kali khatam oleh para pelajar tahfiz, sahabat al-Quran dan perseorangan yang mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Cabutan Bertuah Havoc Food Festival bersempena KIAM’23 di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Ab Rauf berkata, penganjuran Havoc Food Festival dijayakan 166 vendor termasuk 30 orang asnaf seluruh Negeri Melaka, 20 orang artis dan pempengaruh mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengunjung.

“Festival ini menawarkan wang tunai dan baucar keseluruhan bernilai RM20,000 buat pengunjung awal yang hadir pada hari pertama KIAM’23 pada 28 Disember lalu.

“Paling menarik cabutan bertuah extravaganza buat pengunjung KIAM’23 iaitu sebuah Perodua Bezza menerusi penaja utama iaitu Adi Azhar Trading Sdn Bhd,” katanya.

Pada majlis tersebut Ab Rauf, turut mencabut nama pemenang hadiah bertuah Perodua Bezza yang dimenangi pengunjung dari Kuantan, Pahang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1091
Kongsi :
Previous post TMM2024: Program keagamaan sepanjang Ramadan – KM
Next post Anuar Zain belum puas hiburkan orang Melaka
Ubah saiz-+=