TMM2024: Program keagamaan sepanjang Ramadan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PAYA RUMPUT 2 Januari – Pelbagai program keagamaan diatur sepanjang Ramadan pada Mac depan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Mac juga adalah bulan pelancongan agama dan pendidikan.

Katanya, antara program berbentuk Islamik yang dicadangkan adalah Haflah Al-Quran, Majlis Khatam Al-Quran Perdana, Iftar dan Solat Terawih Mega Peringkat Negeri Melaka serta banyak lagi.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan mendukung program-program Islamik di Negeri Melaka, Sekali gus memperkasa, memartabatkan syiar Islam serta pembangunan ummah.

“Menyuburkan syiar Islam dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri seiringan. Justeru, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh ahli jawatankuasa induk termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan semua agensi yang akan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Cabutan Bertuah Havoc Food Festival bersempena Kanival Islamik Antarabangsa Melaka Tahun 2023 (KIAM’23)  di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari ;Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan Havoc Food Festival dan KIAM akan dianjurkan pada skala lebih besar pada tahun ini.

“Penganjuran KIAM 2024 dicadangkan pada Disember nanti, penganjurannya lebih besar atau mega diatur dengan pelbagai pengisian ilmiah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2909
Kongsi :
Previous post Polis tahan pelajar tunggang motosikal dengan aksi ‘Superman’
Next post Lebih 150,000 pengunjung hadir sepanjang lima hari KIAM’23
Ubah saiz-+=