Lebih 50,000 pelancong masuk Jonker Walk sehari

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDA HILIR, 23 April – Pasar malam Jonker atau lebih dikenali sebagai Jonker Walk merekodkan kedatangan pelancong sehingga lebih 50,000 sehari.

Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Wira Gan Tian Loo berkata, ia merupakan hasil kutipan data melalui pendaftaran MySejahtera pengunjung di setiap premis di jalan berkenaan sejak 1 April lalu.

“Kita dapat maklum balas yang sangat baik daripada peniaga di Jalan Jonker yang mengatakan pendapatan mereka bertambah baik sejak sempadan dibuka.

“Bayangkan pada minggu pertama sahaja pengunjung yang masuk ke Jonker pada waktu malam seramai 15,000 orang, minggu kedua 15,800 orang, dan minggu ketiga sudah 18,571 orang.

“Ini tidak termasuk mereka yang datang pada waktu pagi dan mungkin ada sebahagian lagi yang tidak mengimbas kod QR MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Gotong Royong Kacau Bubur Lambuk Sempena Ramadan di Pentas Utama, Jonker Walk.

GAN Tian Loo

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Saa’ri Basiron dan wakil-wakil dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Negeri Melaka (MoTAC).

Mengulas lanjut, ujarnya, Jonker Walk dengan kerjasama BPP, MoTAC dan MBMB juga akan mempergiatkan promosi bagi memeriahkan kawasan itu sebagai ikon pelancongan Melaka.

“Kita sudah mempunyai banyak perancangan untuk menaikkan balik kawasan ini sepanjang tahun ini dan saya janjikan Aidilfitri nanti kawasan ini akan bertambah meriah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2655
Kongsi :
Previous post Kes Macau Scam di Negeri Sembilan meningkat, catat kerugian lebih RM4 juta
Next post Op Wawasan: PGA7 rampas pelbagai barangan bernilai RM7 juta
Ubah saiz-+=