Lega dapat tunaikan wasiat ibu saudara

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Mac – “Berasa lega dan tenang apabila wasiat arwah untuk saya wakafkan peninggalannya tertunai. Ini sebenarnya amanah amat besar untuk saya tunaikan,” kata Maimunah Sulaiman, 68, antara 21 pewakaf yang tampil menginfaqkan sejumlah dana wakaf bagi pembinaan Masjid Pulau Besar.

Menurut warga emas itu, sebelum meninggal dunia akibat sakit tua awal tahun lalu ibu saudaranya Hendon Awang, 86,  berpesan agar peninggalannya termasuk barangan kemas diwakafkan.

“Sebagai pemegang amanah saya perlu menguruskan wasiat arwah sebaiknya dan alhamdulillah akhirnya dapat dilaksanakan dan lapang rasa hati ini.

“Insya-Allah dengan bahagian wakaf ini akan ada ganjaran pahala berterusan buat arwah ibu saudara,” katanya yang ditemui pada Majlis Makan Malam Amal Pengumpulan Saham Wakaf Pembinaan Masjid Pulau Besar yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Menurut Maimunah, pada awalnya dia tidak tahu wang tunai boleh diwakafkan seperti tanah sehinggalah diterangkan oleh pihak MAIM.

“Ingatkan cuma boleh wakaf tanah sahaja tetapi wang juga tidak ada masalah. Jadi sebahagian wang daripada jualan barangan kemas saya wakafkan untuk pembinaan masjid, bakinya diagihkan untuk sekolah, masjid dan lain-lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

579
Kongsi :
Previous post PMM terima Anugerah Institusi Keusahawanan Terbaik AKKPT 2023
Next post Kes anggota trafik peras ugut warga Singapura: Polis mohon bantuan pejabat konsulat
Ubah saiz-+=