Sorting by

×

LELAKI MYANMAR MAUT DISYAKI TERKENA RENJATAN ELEKTRIK

Masa Membaca:56 Saat

ALOR GAJAH 8 September – Mayat lelaki dipercayai warga Myanmar ditemui berhampiran rumah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Padang Keladi, Durian Tunggal, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat mangsa pada jam 2.29 petang.

“Sebaik menerima panggilan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh bersama sembilan anggota termasuk komander operasi bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, pasukan penyelamat menemukan mayat lelaki berada dalam longkang disyaki akibat terkena renjatan elektrik.

“Selepas punca kuasa elektrik diputuskan dan persekitaran berada dalam keadaan selamat, pasukan bomba kemudian membantu mengeluarkan mayat lelaki terbabit,” katanya.

Menurutnya, operasi khas mengeluarkan mayat mangsa turut dibantu pasukan polis, kakitangan TNB dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tamat pada jam 4.22 petang.

“Mayat lelaki asing yang dibawa keluar itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed mengesahkan penemuan mayat itu selain memaklumkan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post SEMAI SEMANGAT PATRIOTISME MENERUSI PROGRAM SAYA ANAK MALAYSIA
Next post POLIS TUMPASKAN DUA SINDIKET PENIPUAN DALAM TALIAN JADIKAN MELAKA HAB PUSAT PANGGILAN