‘Lemah bukan sebab vaksin, anak saya sihat’

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

DUYONG 1 Okt. – “Jangan takut, vaksin okay malah anak saya empat orang semua okay dah terima vaksin. Cuma anak bongsu ini perasaan dia terlalu takut,”

Itu penjelasan Ulfa Amat Daris, 41, ibu remaja lelaki yang videonya longlai selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 semalam tular sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai.

Menurutnya, anak bongsunya itu Muhammad Azim Hassan, 13, sebenarnya hanya terlalu gemuruh ketika hadir menerima vaksin jam 11 pagi semalam menyebabkannya longlai selepas disuntik dan bukannya berpunca daripada vaksin jenis Pfizer yang diterimanya.

DR Noor Azmi (kanan) melawat Muhammad Azim (tengah) dan ibunya, Ulfah di rumahnya di Kampung Bukit Duyong di sini hari ini. Foto: MR. Azli

“Tolonglah jangan sebarkan cerita yang bukan-bukan, malah saya juga tidak sahu siapa yang merakamkan video berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan mengenai vaksin.

“Tiga lagi anak saya berusia 21, 19 dan 17 tahun semua okay sihat dapat vaksin. Cuma anak bongsu (Muhammad Azim) semalam sebelum vaksin dia cakap terlalu takut,” katanya.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam) Dr Rusdi Abd Rahmad di rumahnya di Kampung Bukit Duyong di sini hari ini.

TANGKAP layar dari video yang tular semalam.

Mengulas lanjut, Ulfa berharap orang ramai agar segera menghentikan perkongsian video berkenaan yang hanya akan menjejaskan usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak dan remaja di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja).

“Saya kecewa bila sampai ke tahap mengatakan anak saya dah meninggal, itu semua tidak betul sampai anak mengadu rasa malu. Tolonglah hentikanlah sebar perkara-perkara begini.

“Vaksin ni sebenarnya ikhtiar kita untuk pastikan anak dilindungi dari virus, malah saya akan pastikan adik (Muhammad Azim) terima dos kedua vaksin yang dijadual pada 21 Oktober ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post Lebih lima dekat SPRM terus unggul banteras rasuah-Azam
Next post KKM tak perlu pihak ketiga siasat isu
Ubah saiz-+=