KKM tak perlu pihak ketiga siasat isu

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

DUYONG 1 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak memerlukan penglibatan pihak ketiga bagi membantu siasatan terhadap sebarang isu yang timbul daripada program vaksinasi termasuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja).

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, beliau melihat tiada sebarang masalah dengan penglibatan KKM sepenuhnya bermula daripada menguruskan pemberian vaksin, menyiasat isu yang timbul sehingga mengeluarkan kenyataan berkaitan sebarang kes.

“Setakat ini tiada masalah (diuruskan KKM), kita memang telus. Apa kita nak sorok? Kita mesti bercakap benar kerana itu tanggungjawab kita.

“KKM sangat cepat, sejak PICK Remaja dijalankan secara rasmi pada 20 September, saya memang amat prihatin dan ambil berat perkara ni. Saya nak anak-anak selamat masuk sekolah,” katanya ketika ditemui media di Kampung Bukit Duyong, di sini hari ini.

DR Noor Azmi (kanan) memeriksa tahap oksigen dalam darah adik Muhammad Azim Hassan, 13, (tengah) sambil diperhatikan ibunya, Ulfah Amat Daris, 41, (kiri) di rumahnya di Kampung Bukit Duyong di sini hari ini. Foto: MR. Azli

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan terhadap keluarga remaja lelaki berusia 13 tahun yang videonya longlai selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Encore, Klebang semalam tular sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, beliau melihat tiada keperluan pihak ketiga untuk bersama mereka menyiasat jika wujudnya masalah berkaitan program vaksin biarpun terdapat dakwaan KKM tidak telus dalam menjawab sebarang isu yang timbul.

“Jika berlaku apa-apa, KKM cepat bertindak, dari aspek penyiasatan dan juga penerangan kepada ‘public’ (orang ramai). Itu yang kita buat setakat ini.

“Kalau dilihat apabila tular video hari itu dan apabila berlaku sikit kesesakan di beberapa PPV dan sebagainya kita dah ambil tindakan cepat menghubungi PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) dan pengurusan PPV itu supaya semuanya berjalan lancar,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

609
Kongsi :
Previous post ‘Lemah bukan sebab vaksin, anak saya sihat’
Next post Tanco dianugerah projek penambakan tanah di Melaka untuk pelabuhan Tanjung Bruas
Ubah saiz-+=