Lembaga Unggas akan dibincangkan – Menteri
PAYA RUMPUT 12 Februari – Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan Lembaga Unggas bagi menangani isu bekalan ayam dan telur di masa akan datang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu kini berada di peringkat perbincangan dan akan dikaji sebelum dimuktamadkan.
“Perkara itu (Lembaga Unggas) kini di peringkat perbincangan, kita akan teruskan,” katanya ketika merasmikan kilang baja organik di Krubong, di sini, hari ini.
Sebelum ini, banyak pihak mencadangkan agar Lembaga Unggas diwujudkan bagi menangani isu bekalan ayam dan telur yang masih berlarutan sehingga kini.
Mohamad Sabu berkata, isu kekurangan bekalan telur yang berlaku kini merupakan isu global yang turut melanda negara-negara luar disebabkan kenaikan harga makanan ternakan seperti soya dan jagung.
Susulan itu, katanya, kerajaan masih belum menarik balik subsidi kepada penternak yang mana sehingga kini sejumlah RM1.8 bilion subsidi telah disalurkan bagi menstabilkan harga telur dan ayam.
“Kalau import barangan makanan ayam itu sudah turun harga berdasarkan matawang kita yang meningkat, kita akan kaji dan bincang dengan pihak pengeluar telur supaya harganya kembali stabil.
“Kita perlu lihat perkara ini dari semasa ke semasa kerana kita berdepan dengan benda hidup. Ia tidak seperti jalan raya yang kita boleh kata siap pada 20 Julai 2023. Benda hidup kita tidak boleh kata bila ia akan selesai,” katanya lagi.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu kekurangan sayur, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, berkata pihaknya telah mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengambil tindakan segera.
Ia termasuklah memasarkan sayur ke kawasan-kawasan yang terjejas bekalan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.