Melaka sasar bina 60 rumah percuma untuk mangsa bencana
LENDU 12 Februari – Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak 60 unit rumah percuma akan dibina bagi membantu golongan memerlukan menerusi program Melaka Rumahku pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, inisiatif terbabit akan disalurkan kepada golongan yang benar benar memerlukan terutama bagi keluarga yang terkesan bencana seperti kebakaran selain keluarga yang dikenal pasti masih menetap di rumah usang.
Jelasnya, peruntukan sebanyak RM50,000 diberikan bagi seunit rumah dengan keluasan lantai 800 kaki persegi dilengkapi dengan kemudahan dapur dan tiga bilik tidur menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
“Bagi pembinaan Melaka Rumahku ia akan diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian dan Pemindahan bagi menentukan penerimanya di mana inisiatif ini akan dibina sendiri oleh kontraktor LPM Development Sdn. Bhd. dan kita akan memastikan rumah ini akan dibina dalam tempoh sebulan dan selewatnya sehingga dua bulan setengah.
“Menerusi inisiatif yang diperkenalkan ini sebanyak tujuh unit rumah telah siap dibina pada tahun lalu dan kita akan menyasarkan 60 lagi pembinaannya pada tahun ini dengan nilai peruntukan sebanyak RM3 juta.
“Bagi pembuka tirai tahun ini seramai tiga penerima telah diluluskan membabitkan penerima dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Limau, Pantai Kundor dan Sungai Udang yang mana keluarga akan menerima manfaat ini sebelum menjelang perayaan Aidilfitri nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Rumah Program Melaka Rumahku di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh dan Pengarah Eksekutif LPM Mohd Salleh Hamidom.
Terdahulu menerusi program itu, Sulaiman turut menyempurnakan gimik penyerahan replika kunci kepada keluarga Maznah Abd Rahim, 63 yang berdepan dengan insiden kebakaran rumah pusaka peninggalan arwah suaminya tahun lalu.
Dalam pada itu, Sulaiman menyeru kepada semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Melaka agar turut bekerjasama dalam membantu Kerajaan Negeri menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan memerlukan.
Menurutnya, setiap badan terbabit perlu bersama-sama menyalurkan sumbangan seperti menanggung dana tambahan dalam pembinaan Melaka Rumahku contohnya memberi peruntukan pembinaan siling, bantuan perabot dan keperluan perkakasan dapur.
“Seperti dalam bantuan kali ini, kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kumpulan Melaka Berhad (KMB) yang terlibat sama dalam membantu bagi pembinaan siling rumah Puan Maznah.
“Selain itu, penghargaan diberikan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut membekalkan pemasangan percuma tanpa sebarang caj pembayaran dikenakan dalam program ini.
“Kita minta semua agensi agar turut terlibat dalam pelaksanaan program ini kerana sudah pasti setiap keluaga yang berdepan dengan kebakaran ini telah hilang semua apa yang mereka ada sehingga tinggal sehelai sepinggan memerlukan pelbagai bentuk bantuan untuk disumbangkan daripada agensi terlibat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.