Sorting by

×

Satu DUN, satu rumah transit – KM

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

LENDU 12 Februari – Sekurang-kurangnya sebuah rumah transit disasarkan akan dibina dalam satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu akan memudahkan keluarga mangsa yang terlibat dengan bencana dipindahkan segera di lokasi berhampiran, berbanding perlu ke rumah transit yang jauh dari kediaman mereka.

Menurut beliau, setakat ini hanya 10 unit rumah transit disediakan di Pangsapuri Kampung Padang, Pokok Mangga sebagai perlindungan sementara mangsa bencana.

“Namun ada beberapa kes kita dapati mereka tidak mahu menetap di kawasan itu berikutan rumah itu jauh dari kediaman mereka.

“Ini akan mengganggu urusan mereka untuk menghantar anak ke sekolah, berulang alik dari tempat kerja dan sebagainya membuatkan mereka tidak mahu menetap di rumah transit disediakan Kerajaan Negeri.

“Jadi kita mencadangkan sekurang-kurangnya satu DUN, satu rumah transit akan dibina bagi memudahkan mangsa ini menjalankan rutin harian mereka sementara menunggu rumah baharu mereka disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Rumah Program Melaka Rumahku di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh dan Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidom.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1298
Kongsi :
Previous post Melaka sasar bina 60 rumah percuma untuk mangsa bencana
Next post Tanjung Bruas Port diminta segera bayar pampasan nelayan
Ubah saiz-+=