Komando lemas: SAR hari keenam tumpu pada sonar
PULAU BESAR 12 Februari – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota tentera yang dikhuatiri lemas ketika latihan menyelam di perairan Pulau Undan diteruskan pada jam 7 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, hari ini, kawasan pencarian dipecahkan kepada empat sektor bagi aset di laut dan satu sektor bagi aset di udara.
Katanya, pencarian itu akan menggunakan enam aset yang terdiri daripada lima aset laut dan satu aset udara dengan kekuatan 189 anggota pelbagai agensi.
“Pencarian hari keenam ini akan lebih tertumpu menggunakan sonar oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan Pusat Hidrografi Nasional (PHN).
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan khidmat pasukan penyelam Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) untuk membantu selaman bagi pengesanan sonar yang berpotensi tinggi.
“Setakat jam 10 pagi tadi, beberapa lokasi berpotensi dikesan sonar, namun sehingga kini pasukan selaman masih belum menemui apa-apa,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai dan komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam bagi membantu operasi.
Sebelum ini media melaporkan, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, dipercayai lemas selepas hilang ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Undan, di sini, 7 Februari lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.