Lena tidur, tidak sedar Imigresen ketuk pintu

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 16 Dis – Seramai 152 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Melaka, awal pagi tadi.

Operasi lebih 10 jam yang berakhir jam 6 pagi tadi itu dilakukan di beberapa lokasi sekitar Alor Gajah dan Melaka Tengah.

PENGUATKUASA Imigresen melakukan proses dokumentasi dalam operasi bersepadu.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, seramai 235 pekerja warga asing diperiksa dalam serbuan di rumah kongsi, tapak pembinaan, pusat urut serta rumah pangsa di dua daerah itu.

Beliau berkata, selain berdepan dengan tindakan nekad melarikan diri ke dalam semak berhampiran, penguatkuasa juga terpaksa menunggu lama sebelum pintu rumah dibuka kerana sedang nyenyak tidur.

“Kita berjaya menahan seramai 152 Pati berusia antara 11 hingga 50 tahun selepas mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah ketika diminta.

“Mereka yang ditahan ini membabitkan warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Pakistan selain lapan warga tempatan turut diberi notis untuk hadir memberi keterangan,” katanya.

GELAGAT warga asing yang cuba melarikan diri daripada ditahan penguatkuasa Imigresen.

Menurut beliau, operasi bersepadu itu dijalankan hasil aduan orang awam dan penduduk setempat mengenai kebanjiran warga asing di kawasan itu.

“Mereka yang ditahan ini didapati tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pas kerja sementara tamat tempoh dan kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Malah Jabatan Imigresen juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang didapati bertindak melindungi pati,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1206
Kongsi :
Previous post 11 loji ayam di Thailand, China masih sah status lulus eksport – Jakim dan JPV
Next post Beli kucing parsi guna duit palsu, dua suspek ditahan polis
Ubah saiz-+=