Beli kucing parsi guna duit palsu, dua suspek ditahan polis

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

ALOR GAJAH 16 Dis. – Helah dua rakan memperdaya seorang pesara guru untuk membeli dua ekor kucing parsi bernilai RM2,600 menggunakan wang palsu tidak menjadi apabila ditahan di Simpang Pulai, Ipoh semalam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menahan suspek lelaki berusia 22 tahun dan rakan wanitanya berusia 24 tahun pada jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pesara guru berusia 56 tahun yang membuat urusan jual beli kucing parsi kepada suspek menerusi laman Facebook.

Beliau berkata, suspek bersetuju membeli dua ekor kucing berkenaan dengan harga RM2,600 sebelum suspek membuat pembayaran deposit sebanyak RM100 ke dalam akaun mangsa.

“Persetujuan dibuat untuk pengadu dan suspek telah berjumpa di Plaza Tol Ayer Keroh pada jam 1.30 pagi, Sabtu lalu selepas keduanya bersetuju melakukan jual beli kucing berkenaan.

“Pengadu menyerahkan dua ekor kucing bersama sebuah sangkar sebelum suspek menyerahkan kepada pengadu wang tunai berjumlah RM2,500,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

ARSHAD. Foto fail.

Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan kejadian itu, mangsa menggunakan wang diberikan suspek untuk membeli kucing lain di Skudai, Johor pada 12 Dis lalu.

“Bagaimanapun, penjual kucing terbabit tidak mahu menerima wang tersebut kerana mengesyaki wang tersebut adalah palsu sebelum pengadu membuat laporan polis,” katanya.

Arshad berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menjalankan risikan sebelum menahan kedua-dua suspek yang masing-masing beralamat di Kampung Kepayang, Simpang Pulai.

Ujarnya, semakan mendapati suspek wanita terbabit mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya dengan status masih dikehendaki.

“Ujian saringan mendapati kedua-dua tangkapan positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai Perintah Langkah-langkah Pencegahan Khas Akta Dadah Berbahaya.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis PROTON Wira Aeroback, dua ekor kucing jenis persian dan mesin cetak bewarna selain kepingan wang kertas dipercaya palsu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 20 Dis depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 489 B Kanun Kesekseaan kerana mengunakan wang disyaki palsu sebagai tulen yang boleh memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan denda.

Selain itu, katanya, kedua-duanya turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 diatas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan dan hukuman penjara tidak kurang dua tahun, denda tidak melebihi RM5,000, pengawasan wajib dua tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1075
Kongsi :
Previous post Lena tidur, tidak sedar Imigresen ketuk pintu
Next post MPJ naib johan anugerah pasar bersih dan selamat 2021
Ubah saiz-+=