Lestarikan budaya pemakaian setanjak dalam kalangan anak muda

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KLEBANG 5 Sept. – Seramai kira-kira 200 peserta telah menyertai Bengkel Ikatan Setanjak, Tengkolok dan Destar sempena bulan kemerdekaan yang diadakan di Dewan Baitul Tariq, di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Belia 4B bahagian Tangga Batu dan Persatuan Rebana Keras Klebang Besar dengan kerjasama Institut Warisan Melaka (INSWA), Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Melaka dan Youtube ARKIB DOT itu bukan sahaja disertai anak-anak muda, bahkan turut mendapat sambutan daripada ibu bapa yang hadir memeriahkan bengkel berkenaan.

Menurut tenaga pengajar utama bengkel berkenaan Mohd Razali Rafie, objektif utama diadakan bengkel tersebut adalah untuk mencari pelapis dan pewaris seni warisan Melayu yang telah lama ditinggalkan iaitu setanjak.

Katanya, meskipun pemakaian setanjak itu semakin menjadi trend pada masa kini, namun generasi muda seharusnya didedahkan mengenai adab pemakaian setanjak yang perlu dipatuhi.

“Saya akui sekarang pemakaian setanjak menjadi trend hingga ada yang memakai t-shirt dan seluar jeans bersama setanjak. Saya bukan kata tak boleh, tetapi jika memakai setanjak yang dipakai raja-raja Melayu dengan pakaian seperti itu sebaik-baiknya janganlah dibuat.

“Sebab itulah kita adakan bengkel seperti ini agar golongan muda ini didedahkan dengan adab sebenar pemakaian setanjak. Dari sini juga mereka telah didedahkan dengan asas pembuatan setanjak agar mereka ini dapat berkarya membuat tanjak mereka sendiri untuk dipakai mengikut cara masing-masing.

“Harapan saya, dengan adanya bengkel-bengkel seperti ini, golongan muda dapatlah mencari semula ilmu, adat dan budaya Melayu itu dan mendalaminya. Bukan hanya setanjak, kita juga ada gelanggang silat yang memberi tunjuk ajar mengenai identiti dan warisan Melayu,” katanya.

Sementara itu, Guru Utama Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Melaka Aziz Md Said berkata, melalui bengkel berkenaan diharap budaya pemakaian setanjak dapat dilestarikan semula oleh generasi milenial agar ia tidak pupus ditelan zaman.

“Sebagai seorang Melayu, kita kena tahu asal-usul pakaian kita. Sebab itulah kita buat bengkel agar generasi baharu ini kenal warisan. Secara tak langsung mereka juga diajar tentang adab pemakaian setanjak,” katanya.

Bagi para peserta pula, rata-ratanya kelihatan teruja dapat membuat sendiri ikatan setanjak selepas diajar tenaga pengajar dalam bengkel tersebut.

Bazli Hadif Zulhazmi, 11 berkata, daripada bengkel berkenaan, dia dapat membuat sendiri ikatan tanjak nakhoda trong bersama kawan-kawan.

“Memang seronok dapat buat tanjak dengan kawan-kawan. InsyaAllah bila besar nanti saya nak buat perniagaan tanjak mengikut cara yang tersendiri,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Nasran Adlan Mohd Noran dan Muhammad iskandar Hazim Shah yang menyuarakan hasrat untuk menurunkan ilmu pemakaian tanjak itu kepada generasi muda yang akan datang agar ia tidak luput ditelan arus kemodenan.

Views:

809
Kongsi :
Previous post INSWA atur pelbagai program bangkitkan kesedaran warisan Melayu
Next post SAMB bantu Air Selangor atasi krisis air di Lembah Klang
Ubah saiz-+=