SAMB bantu Air Selangor atasi krisis air di Lembah Klang

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 5 Sept. – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menghantar lori tangki air ke Selangor bagi membantu Air Selangor Sdn. Bhd., (Air Selangor) yang berhadapan masalah dan gangguan pencemaran air.

Selain SAMB, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd., (SADA) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn. Bhd., (SAJ) turut membantu mengagihkan air kepada pengguna yang terjejas menerusi bantuan sembilan lori tangki air.

Menerusi kenyataan Air Selangor, bantuan bekalan air kecemasan telah dilaksanakan sehingga kini adalah menggerakkan sebanyak 114 lori tangki termasuk sembilan dari operator negeri lain, menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum lima liter kepada para pengguna yang terjejas.

“Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

“Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Air Selangor dalam kenyataan sama memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada 10.30 malam, 4 September secara berperingkat-peringkat.

“Keempat-empat LRA ini mengambil masa selama 10 jam untuk aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA supaya dapat beroperasi sepenuhnya bagi mengisi kolam imbangan sehingga ke paras empat meter yang dijangka selesai pada jam 8.30 pagi, 5 September sebelum dapat diagihkan kepada para pengguna.

“Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu. Ini termasuk memenuhkan semua tangki-tangki utama yang telah kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada ‘airlock’ dalam sistem perpaipan,” katanya.

Jelasnya kenyataaan itu lagi, Air Selangor juga telah melaksanakan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 juta liter sehari (JLH), Empangan Sungai Tinggi sebanyak 800 JLH, HORAS 600 sebanyak 150 JLH dan operasi pengepaman kolam air pula sebanyak 582 JLH untuk membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi keempat-empat LRA yang kini sedang beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum sebanyak 2,850 JLH.

Views:

624
Kongsi :
Previous post Lestarikan budaya pemakaian setanjak dalam kalangan anak muda
Next post Malindo Air: Penerbangan Melaka-Pulau Pinang mula 1 Oktober ini
Ubah saiz-+=