Lima negeri ke Fasa 2 PPN bermula Isnin, Melaka kekal Fasa 1

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR 3 Julai – Lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis menjadi negeri pertama dibenarkan beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan itu diberikan selepas kelima-lima negeri menepati dan memenuhi tiga indikator yang ditetapkan iaitu kadar penularan COVID-19 dalam komuniti, penggunaan katil di wad ICU dan peratusan populasi yang lengkap menerima dua dos vaksin.

“Saya percaya peralihan mengikut nilai ambang setiap negeri ini adalah keputusan yang lebih adil kepada negeri-negeri.

“Jika kita kekal kepada nilai ambang membabitkan seluruh negara seperti sebelum ini semua negeri terpaksa kekal di Fasa 1 kerana kes COVID-19 di sesetengah negeri contohnya Selangor masih lagi tinggi.

“Jadi dengan tindakan ini, kita dapat membebaskan negeri-negeri yang menepati nilai ambang dari Fasa 1 ke Fasa 2 bermula 5 Julai atau Isnin ini,” katanya pada sidang media dalam talian bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.

Mengikut data nilai ambang yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, kelima-lima negeri itu telah melepasi syarat yang ditetapkan berikutan kes harian di negeri terbabit kekal rendah sejak PPN dilaksanakan, selain kapasiti penggunaan katil di wad ICU juga mencukupi dan populasinya juga sudah melepasi 10 peratus menerima dua dos suntikan vaksin.

Bagaimanapun, Melaka masih kekal di Fasa 1 PPN berikutan hanya menepati satu indikator berbanding tiga yang ditetapkan kerajaan.

Mengikut data yang ditunjukkan, Melaka hanya menepati indikator peratusan populasi yang lengkap menerima dua dos vaksin apabila merekodkan 10.7 peratus rakyat lengkap divaksinasi ketika ini.

 

Views:

562
Kongsi :
Previous post Julai tempoh yang genting buat PICK – KJ
Next post PPN Fasa 2: Rentas daerah, negeri masih tidak dibenarkan kecuali…
Ubah saiz-+=